• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pok Usop Sedia 'Makan', Tarik Anak Muda Ke Surau

DUNGUN, 10 Disember -  Menyedari tidak ramai golongan muda ke masjid atau surau untuk menunaikan solat berjemaah, Mohd Yusof Abdul Ghani, 58, mengambil inisiatif melakukan aktiviti 'makan-makan' selepas waktu solat.

Mohd Yusof yang lebih dikenali Sebagai Pok Usop berkata, kebiasaannya dia dan isteri menyediakan juadah ringan untuk para jemaah seusai solat Isyak.

"Saya sedih melihat anak-anak muda yang sering menghabiskan masa melepak sehingga terlupa untuk mendirikan solat. 

"Jadi saya suruh isteri saya masak apa yang ada untuk dibawa ke surau, tidak semestinya makanan mahal, cekodok ke, roti canai ke, nasi goreng ke, ikut ada, kadang tu kalau kita tidak dapat buat, minta tolong jiran buat, suka tengok orang muda datang ke surau," katanya kepada pemberita selepas lawatan pasukan 'mobile team' ke rumahnya di Kampung Teluk Bidara. 

Rombongan 'mobile team' yang terdiri daripada wakil Pusat Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang itu bertujuan melihat dari dekat kehidupan keluarga yang mendaftar dibawah e-kasih. 

Pok Usop berkata, walaupun dirinya bukan 'orang senang' dia tidak kisah melakukan perkara sedemikian.

"Diharapkan usaha kecil saya ini sedikit sebanyak dapat menarik minat anak-anak muda untuk bersama-sama mengimarahkan masjid," ujarnya.

Sementara itu, rombongan 'mobile team' tersebut juga turut melawat rumah sepasang suami isteri yang mempunyai tiga orang anak di Kampung Che Lijah. 

"Saya mohon untuk siapkan dapur sebab sekarang ni saya masak di bilik anak sebab dapur tidak siap, " ujar ketua  keluarga tersebut, Mohd Saifullah Mahmood @ Kasim, 32.

Mohd Saifullah yang berniaga goreng pisang di Pasar Borong Dungun bersama isteri turut mengakui perniagaannya merosot semenjak Perintah Kawalan Pergerakan. 

"Saya berniaga hari Jumaat dan Sabtu sahaja, sebab hari lain tidak ramai orang datang ke pasar, jadi hari biasa, saya akan buat kerja-kerja kampung, dan mengail udang, " katanya. 


Tag: