• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Polis, MCPF Ringankan Beban Mangsa Banjir



Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Terengganu memperuntukkan RM31,000 untuk disalurkan kepada dua mangsa bencana banjir di Parlimen Marang, baru-baru ini. 

Penerima sumbangan dari keluarga kurang berkemampuan itu, masing-masing Ruzi Wan Abdullah dan Juhan Johari dari Merchang, Marang .

Ruzi menerima bantuan RM20,000 untuk membaik pulih bekalan air paip dan membaiki jalan ke rumahnya, sementara Juhan pula menerima bantuan membaik pulih rumah dengan peruntukan sebanyak RM11,000.

Pengerusi MCPF Negeri, A.Latiff Awang berharap penerima sumbangan itu dapat memanfaatkan bantuan dengan sebaik mungkin dan menjalani kehidupan lebih selesa bersama keluarga masing-masing selepas diuji dengan musibah banjir, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan berkata, pemilihan penerima sumbangan itu diputuskan oleh Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri, selaku penaja utama program sosial itu.

"Kita berterima kasih kepada polis dan MCPF negeri kerana prihatin dan bersedia menghulurkan tangan membantu meringankan beban mangsa serta keluarga selepas bebrapa bahagian struktur rumah rosak akibat ditenggelami banjir baru-baru ini," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program sumbangan pasca banjir MCPF Terengganu.katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada empat keluarga di Mukim Merchang, Marang, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Idris Abdullah dan Pengarah Penjara Marang, Penolong Komisioner Mohamad Ismail.

Latif berkata, selain membuat saluran bekalan air bersih, pihaknya bersama PDRM dengan bantuan PGA juga turut membaiki sebuah rumah dengan kos sebanyak RM11,000.

Katanya, selain memperuntukkan wang bagi membaiki rumah itu, pihak polis bersama PGA akan menggunakan kepakaran mereka membaiki rumah berkenaan.

 "Kerjasama daripada pelbagai ini, pastinya dapat mengeratkan lagi hubungan antara pihak polis, masyarakat dan beberapa lagi agensi yang terbabit, termasuklah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Jabatan Perpaduan Negara, Integrasi dan Nasional (JPNIN) dan Jabatan Penjara," katanya.

Tambah beliau lagi, selain mengadakan program khidmat masyarakat, pihaknya juga akan meneruskan lagi kerjasama bersama pihak terbabit di masa hadapan dengan memperbanyakkan lagi program keselamatan negara, gotong-royong, program khidmat masyarakat, program pendidikan dan penerangan berkenaan jenayah dan keselamatan.





Tag: