• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Polis Nafi Kecurian Lebih 200 RXZ Di Terengganu

KUALA NERUS, 16 Ogos- Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Terengganu menafikan dakwaan yang tular di media sosial berkaitan kecurian lebih 200 buah motosikal RXZ sepanjang tempoh program RXZ Members 4.0 berlangsung di negeri itu.

Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Rohaimi Md Isa berkata, dakwaan yang tular kebelakangan ini mungkin tidak berkait dengan perkara itu. 

"Setakat ini, pihak Polis cuma menerima sebanyak dua laporan kecurian motosikal melibatkan peserta yang direkodkan serta satu kemalangan maut melibatkan peserta program.

"Bagi program ini, pihak Polis berpuas hati dengan pengurusan sepanjang penganjuran, cuma kami ingin mengingatkan penganjur untuk memaklumkan kita lebih awal supaya koordinasi sepanjang program selepas ini dapat diatur dengan lebih sempurna.

"Untuk makluman juga, sepanjang tempoh program itu tiada saman dikeluarkan melibatkan para peserta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Terengganu Tahun 2022 yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan istiadat penganugerahan kepada 408 daripada 668 Pegawai Kanan, Pegawai Rendah dan pesara Polis bagi kumpulan terakhir melibatkan kontinjen Terengganu.

Hadir sama adalah Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) PDRM, DCP Mohd Alwi Zainal Abidin, dan Timbalan Ketua Polis Terengganu, DCP Dato'Wan Rukman Wan Hassan.

Pingat dikurniakan bagi menghargai jasa kepahlawanan dan bakti petugas-petugas Polis dan PDRM kepada negara semasa era darurat dalam Perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu (12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960).

Ia juga bagi pengorbanan mereka dalam perkhidmatan semasa darurat di Sabah dan Sarawak pada 1962 hingga 17 Oktober 1990.

 

 


Tag: