• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 6 April - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Terengganu telah mengerakkan anggotanya untuk meningkatkan kawalan keselamatan di bazar Ramadan bagi memastikan orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, seramai 107 anggota telah ditugaskan bagi mengawal premis perniagaan di 59 lokasi bazar Ramadan di negeri ini.

"Untuk masa sekarang kita masih lagi mengambil pendekatan memberikan nasihat bagi membangkitkan kesedaran orang ramai untuk mematuhi SOP ditetapkan, walaupun kita telah beralih ke fasa endemik namun kita masih lagi berkuasa untuk mengambil tindakan mengenakan kompaun.

"Untuk permulaan ini kita akan berikan saranan yang baik agar pengunjung sedar akan tanggungjawab menjaga SOP ini demi menjaga keselamatan diri dan orang lain dalam keghairahan mereka untuk mendapatkan juadah berbuka puasa setelah lama tidak dapat berbuat demkian.

"Antara perkara yang kita dapat lihat pada hari ketiga Ramadan di bazar ini ialah kesesakan berlaku kerana tidak menjaga penjarakkan, sehingga mengakibatkan sesetengah gerai itu agak padat, dan kita telah mengambil tindakan menyuraikan para pengunjung,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika pemberita ketika mengadakan tinjauan pematuhan SOP, di Bazar Ramadan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya juga telah meminta pihak penganjur bazar untuk memainkan peranan mengetatkan kawalan di gerai-gerai serta kaunter yang padat pengunjung.

"Agar penjarakkan sosial dapat dipatuhi, dimana setakat yang saya perhatikan dari sudut lain seperti pemakain pelitup muka telah dapat dipatuhi, dimana ia turut disediakan oleh penganjur sekiranya pengunjung terlupa membawanya.

"Daftar masuk ke bazar juga tiada sebarang masalah dimana jika pengunjung lupa membawa 'smart phone' untuk imbas MySejahtera mereka boleh menulis nama di buku log yang disediakan.

"Saya juga turut menyarankan kepada orang ramai yang ingin mengunjungi bazar jika sekiranya merasakan dirinya mengalami gejala agar tidak datang ke sini, sebaliknya meminta ahli keluarga yang lain datang ke bazar untuk mendapatkan juadah berbuka puasa," ujarnya.