lightning-solid
Berita :
Polis Terengganu Minta Suri Rumah Tampil Bantu Siasatan
Polis Terengganu Minta Suri Rumah Tampil Bantu Siasatan
Mohd Irsyadi Abu Bakar
10 jam yang lepas
8

KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu meminta kerjasama orang ramai khususnya Nurul Norasikin Aladin, 30, supaya, tampil secara sukarela bagi membantu siasatan bagi kes tangkapan yang dibuat pada 23 Disember lalu.

Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Mohd Khairi Khairudin memaklumkan penama, seorang suri rumah yang beralamat di A-808 Kampung Batin, Seberang Takir diminta hadir ke balai Polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes, ASP Mohamad Azmi Awang Lah di talian 010-9213516 bagi membantu siasatan.

"Kes ini melibatkan tangkapan lelaki tempatan yang merupakan seorang peguam, disyaki bersubahat dengan sorang lelaki tempatan iaitu banduan yang ditangkap membawa masuk dadah ke Penjara Marang.

"Pada 23 Disember jam 5.00 petang, pegawai kanan Penjara Marang telah menjalankan pemeriksaan penerimaan terhadap seorang banduan lelaki yang baru selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

SYA_5363.jpg 871.5 KB
"Hasil pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas mendapati terdapat objek asing dalam tubuh badan banduan terbabit. Susulan itu, banduan berkenaan telah diasingkan dan diletakkan di bawah pemantauan rapi Klinik Penjara," katanya.

Beliau menambah, pada keesokan harinya selepas pemeriksaan lanjut, banduan tersebut telah membuang air besar dan mengeluarkan 12 ketulan disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan ganja.

"Seterusnya, pada 25 Disember banduan itu sekali lagi mengeluarkan 14 ketulan disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan Erimin 5.

"Susulan kejadian itu, pihak penjara telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Marang dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadar Berbahaya 1952.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan," jelasnya.

Khairi turut menyatakan, jumlah keseluruhan rampasan melibatkan Pil Yaba sebanyak 123 gram, Ganja (21 gram), Erimin 5 (13 gram).

SYA_5561.jpg 789.03 KB
Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 800 orang penagih dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16,000.

Hasil siasatan lanjut, JSJN Kontinjen Terengganu kemudian berjaya menahan seorang peguam bagi membantu siasatan.

Suspek direman selama enam hari bermula 30 Disember hingga 4 Januari 2026 bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 107(C) dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan keran bersubahat. 


Tag :

Artikel Berkaitan