• 17 Jun 2021 | 7 Zulkaedah 1442

Polis Tutup 26 ‘Laluan Tikus’ Di Sempadan Terengganu Dan Kelantan

BESUT, 9 Mei - Polis Terengganu menutup 26 'laluan tikus' yang berpotensi menjadi jalan alternatif penduduk di sempadan Terengganu dan Kelantan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Besut serta musim perayaan Aidilfitri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kawalan dan pemantauan lebih ketat kini dilaksanakan di kesemua laluan tikus yang berjaya dikesan.

“Pasukan pemantau ditambah kepada 150 berbanding 135 pasukan sebelum ini, membabitkan 1,000 petugas termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya dalam hantaran di laman Facebook miliknya semalam.

Terdahulu, beliau bersama  Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta  Ketua Polis Negeri, Dato’ Roslee Chik memantau ke beberapa laluan tikus yang ada di sepanjang daerah Besut dan Pasir Puteh, Kelantan,.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata,namun begitu ada pihak tidak bertanggungjawab merosakkan kawat besi yang sedia dipasang bagi memudahkan laluan mereka.

“Meskipun pihak polis telah meletakkan halangan di laluan terpencil itu, namun masih ada yang tidak bertanggungjawab merosakkannya dengan melakukan perbuatan khianat terhadap sekatan yang diletakkan,”ujarnya lagi.

Tambahnya, situasi di negeri ini masih terkawal dan penduduk perlu sentiasa patuh pada SOP untuk mengelakkan jangkitan terus merebak ke tempat lain.


Tag: