lightning-solid
Berita :
Portal Jodoh Darul Iman ‘Laku Keras’, Lebih 2,000 Cari Pasangan Dalam Sebulan
Portal Jodoh Darul Iman ‘Laku Keras’, Lebih 2,000 Cari Pasangan Dalam Sebulan
Mastura Jamal Din
10 Nov 25
954

KUALA TERENGGANU, 10 November – Portal Jodoh Darul Iman yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menunjukkan sambutan amat menggalakkan apabila merekodkan sebanyak 2,048 pendaftaran setakat 16 September 2025, iaitu hampir empat kali ganda melebihi sasaran awal 500 pendaftar.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata daripada jumlah itu, 1,550 orang telah berjaya membuat pendaftaran penuh, manakala 498 orang lagi sedang melalui proses penilaian semula.

Beliau berkata, pelaksanaan portal berkenaan berjalan dengan baik dan mendapat maklum balas positif daripada masyarakat, sekali gus membuktikan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh institusi kekeluargaan serta menangani isu lewat berkahwin dalam kalangan rakyat Terengganu berada pada landasan yang tepat.

“Sesi pertemuan melibatkan dua kaedah iaitu secara fizikal dan atas talian, dengan beberapa kategori hasil pertemuan seperti ‘berjaya’ (pasangan masih dalam fasa taaruf); ‘tiada keserasian’ (calon memilih pasangan lain); serta ‘dalam proses’ (kedua-dua pihak saling berminat dan sedang berbincang untuk menetapkan tarikh pertemuan),” katanya.

WhatsApp Image 2025-11-10 at 12.39.19 PM.jpeg 442.95 KB
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di sini hari ini.

Menurut Hanafiah, inisiatif itu bukan sekadar membantu individu mencari pasangan hidup, tetapi juga menjadi medium penting dalam memperkukuh pembangunan sosial dan institusi kekeluargaan di Terengganu.

Portal Jodoh Darul Iman yang dilancarkan pada 6 Ogos 2025 dan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, merupakan platform pencarian jodoh secara patuh syariah dan terkawal yang terbuka kepada golongan bujang, duda, janda dan balu di negeri ini.




Tag :

Artikel Berkaitan