• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PPS Banjir Bakal Perkemas SOP Baharu

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bakal diperkemaskan dengan prosedur operasi standard (SOP) terkini selaras norma baharu yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, ketika ini.

Pengarah Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, perkara tersebut sedang diperkemaskan Sekretariat Pengurusan Bencana di pelbagai peringkat.

"Kita juga merancang untuk melakukan latihan pengurusan di PPS dengan cara norma baharu yang dijadualkan pertengahan bulan ini, kerana kita tidak boleh amalkan cara lama seperti gotong-royong menyediakan masakan dan mengadakan solat jemaah secara beramai-ramai.

"Setakat ini, jumlah PPS sedia ada yang direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih kekal sama sebagaimana dahulu, cuma kita dalam proses kemas kini kerana kita semua tahu ada PPS yang berskala kecil seperti dewan serbaguna mungkin tidak boleh digunakan lagi disebabkan faktor norma baharu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Latihan Menyelamat Di Air APM Terengganu bersama Media: Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana (MTL) Tahun 2020/2021 di Pusat Rekreasi Kalang Warisan, Pulau Manis, di sini semalam.

Jelasnya, latihan yang bermula sejak pagi tadi itu menerapkan latihan menyelamat di air, latihan balingan menyelamat mangsa lemas, pengendalian bot asas, dan latihan kecemasan asas sebagai kesediaan APM menghadapi Monsun Timur Laut (MTL). 

"Untuk makluman kita buat latihan mengikut SOP ditetapkan dengan penjarakan sosial dan skala kecil sebagaimana disarankan KKM kerana kita masih dalam pengurusan bencana Covid-19 yang mana kebiasaan baharu yang harus diterapkan.

"Mengikut Jabatan Metorologi Malaysia (MET Malaysia), sekarang kita berada dalam musim peralihan dan dijangka tamat hujung bulan ini, mungkin permulaan musim tengkujuh akan diumumkan dalam minggu pertama kedua nanti.  Jadi, semoga latihan ini akan mempersiapkan anggota APM serta rakan media untuk menghadapi MTL," katanya.

Tambahnya, seramai 350 orang anggota APM di Terengganu kini bersedia dan boleh digerakkan dalam tempoh enam hingga lapan jam jika berlaku banjir.

 


Tag: