KUALA NERUS, 19 Disember - Pusat Pemindahan Sementara umpama rumah Kedua bagi Rohani Mohamad, 58, kerana telah menjadi kelaziman penduduk di Taman Murni Permai terpaksa berpindah kerana kediaman mereka dinaiki air setiap tahun apabila tibanya musim tengkujuh.

"Memang rasa penat, sedih dan terpaksa menanggung kerugian namun Kali ini sepertinya mengulangi kembali banjir besar 2014.

"Air naik begitu cepat, dalam hanya beberapa jam sahaja mencecah separas pinggang dengansegala barangan seperti perabot, peralatan dan perkakasan elektrik segalanya musah dan rosak saya anggarkan kerugian dialami mencecah RM10,000 termasuk barang-barang perniagaan saya.

"Ketika kejadian saya tidak segera berpindah, kerana hendak lihat dulu setakat mana namun apabila air telah melebihi had saya bersama ahli keluarga yang lain segera ke PPS, memang beginilah tiap-tiap tahun namun kali ini lebih parah, baru minggu lalu ke sini, kali ini air naik lagi, kiranya tahun ini tiga kali," ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di PPS SK Tok Jembal di sini, hari ini.

Katanya, pernah terfikir hendak berpindah namun mengenangkan nasib diri terpaksa terus menetap di Taman perumahan itu mendiami rumah yang ditinggalkan oleh arwah suami.

Sementara itu Zukahiri Yahaya, 29,yang merupakan penyewa kediaman di Taman Murni Permai telah mengetahui daripada awal mengenai kawasan tersebut sering dinaiki air.

"Namun saya terpaksa juga menyewa di sini, kerana isteri saya sambung belajar di Universiti Sultan Zainal Abidin,hanya kawasan ini sahaja paling dekat dengan tempat isteri belajar.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya menghadapi banjir, setelah berpindah ke sini pada bulan Oktober yang lalu, saya tidak alami kerugian yang besar melainkan beras 10 kilogram yang baru sahaja dibeli, dan hanya sedikit sahaja sempat digunakan kerana air paras pinggang dan terlalu deras, beras saya yang diletakkan dalam bekas khas terlingkup dan dihanyutkan air begitu sahaja," ujarnya.