PPS DUN Manir Dibuka, 200 Keluarga Terlibat Banjir Dipindahkan

HULU TERENGGANU, 30 November - Kira-kira 200 keluarga terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)apabila hujan lebat berterusan sejak beberapa hari menyebabkan beberapa kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) mula Manir dilanda banjir.

PPS pertama dibuka di SK Pulau Bahagia sekitar jam 10 pagi selepas paras air mula naik sekitar jam 4 pagi semalam dan sehingga jam 5 petang ini seramai 150 keluarga didaftarkan.

Sementara itu PPS SK Teluk Menara kira-kira 50 keluarga terlibat.

Anggaran seramai 1000 mangsa telah dipindahkan ke PPS itu dengan bantuan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sukarelawan Anggota Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia DUN Manir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, semua pihak perlu terus bekerjasama demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga yang terjejas banjir.

"Kami memahami kesukaran yang dialami penduduk akibat bencana ini.

"Kerajaan dan pihak DUN bersama agensi-agensi berkaitan sentiasa komited untuk memastikan mangsa banjir mendapat bantuan segera, termasuk makanan, pakaian, dan rawatan kesihatan, katanya ketika melawat mangsa banjir di Pulau Manis.

Beliau yang turun padang meninjau keadaan di beberapa kampung terlibat, menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa yang terjejas.

Hilmi  juga memuji tindakan pantas pihak berkuasa dan sukarelawan dalam menguruskan situasi kecemasan ini.

Dalam pada itu, Penghulu Mukim Belara, Khairul Shahril Othman turut berkata, paras air di beberapa kawasan masih meningkat, dan lebih banyak PPS bersedia untuk dibuka sekiranya jumlah mangsa terus bertambah.

"Penduduk di kawasan berisiko tinggi dinasihatkan untuk terus mematuhi arahan evakuasi dan tidak mengambil risiko tinggal di rumah," ujarnya.

Antara kampung terlibat Teluk Menara, Kedai Manir, Sekati, Banggol, Tualang, Taman Hamparan Permai, Batu Hampar dan Pulau Manis.


Tag: