• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PPS Pertama Dibuka Di Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 3 Disember - Hujan lebat di daerah ini sejak malam tadi menyebabkan 14 mangsa daripada dua keluarga dari Kampung (Kg) Kolam dan satu keluarga dari Kg Tok Gebok dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman, berkata PPS di Balai Raya Kg Kolam adalah yang pertama di daerah ini berikutan banjir akibat hujan lebat.

Katanya, disebabkan keadaan itu, penduduk terpaksa dipindah segera ke PPS berkenaan bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

"Semua mangsa dipindahkan ke PPS berkenaan yang dibuka pada jam 5.15 petang.

"Kami akan melakukan pemantauan secara berterusan di semula lokasi banjir untuk memastikan tiada mangsa yang terkandas di rumah mereka akibat bencana itu," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Sementara itu, menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kebanyakan stesen bacaan di Terengganu berada pada trend peningkatan paras air sungai.

Sebuah stesen bacaan di daerah Hulu Terengganu pula menunjukkan peningkatan paras air melepasi paras waspada iaitu di  Kuala Ping.

"Mengikut bacaan yang diterima, hujan sedang turun dengan lebat di Jambatan Kuala Berang dengan kadar purata agak tinggi  dengan 121 milimter (mm) dalam tempoh 22 jam.

"Jika hujan masih berterusan sehingga awal pagi kemungkinan besar kawasan rendah berisiko untuk banjir dan PPS akan dibuka," jelas beliau.

Sehingga kini terdapat 49 PPS dibuka di lapan daerah melibatkan 503 keluarga dengan 1,817 mangsa. 


Tag: