• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PPTS Medium Bela Nasib Golongan B40

MARANG, 3 Mac - Kerajaan negeri melalui Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) telah banyak membantu masyarakat khasnya golongan B40 di negeri ini dalam memenuhi hasrat mereka bagi memiliki kediaman sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, kali ini melalui peruntukkan sebanyak RM250,000 lima unit rumah baru telah dibina serta sebuah rumah telah dibaik pulih bagi memastikan kesejahteraan penerima terlibat.

"Alhamdulillah peserta-peserta terpilih daripada golongan B40 yang memiliki kekurangan daripada sudut kewangan, namun dengan peruntukkan tersebut kita dapat membantu mereka untuk mendapatkan rumah sendiri.

"Moga-moga Allah SWT merahmati mereka dan memberkati mereka," katanya ketika menyantuni para penerima manfaat PPTS di DUN berkenaan, baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri itu berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin bahawa terdapat ramai yang masih memerlukan rumah namun mengakui pihak kerajaan mempunyai peruntukkan yang sangat terhad bagi memastikan seluruh rakyat di negeri ini memiliki kediaman melalui sumbangan kerajaan.

"Masih ada saluran lain yang boleh dimohon termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat melayu (MAIDAM), Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta projek pembangunan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya.

 


Tag: