MARANG, 26 Disember – Presiden PAS hari ini mendedahkan krisis politik yang melanda Perlis berpunca daripada dua faktor utama yang sukar diterima menyebabkan parti itu mengambil sikap tegas.
Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, punca pertama melibatkan sikap segelintir pihak yang menuntut jawatan, sedangkan dalam PAS dan ajaran Islam, jawatan tidak wajar diberikan kepada individu yang memintanya, walaupun memiliki kelayakan.
“Jawatan adalah amanah. Dalam Islam, orang yang meminta jawatan tidak boleh diberi. Ini prinsip yang jelas dan kita berpegang dengannya,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Rusila, Marang, hari ini.
Beliau menegaskan, pengalaman lalu membuktikan bahawa perebutan jawatan sentiasa menjadi pencetus perpecahan dan pengkhianatan, sekali gus melemahkan kestabilan pentadbiran dan keutuhan parti.
Mengulas punca kedua, Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan krisis tersebut turut didorong oleh desakan supaya projek-projek besar diluluskan tanpa mematuhi peraturan, malah disertai unsur penyelewengan dan rasuah.
“Ada tekanan berkaitan projek yang tidak ikut peraturan. Menteri Besar kita tidak boleh ikut perkara yang salah,” katanya.
Beliau menegaskan, keengganan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli untuk tunduk kepada tekanan tersebut menyebabkan beliau dizalimi, bukannya berlaku zalim, walaupun pentadbirannya diterima rakyat serta dilihat memerintah dengan adil dan berintegriti.
Mengulas langkah seterusnya, Presiden PAS berkata parti itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri, sambil menegaskan bahawa sokongan rakyat terhadap PAS kekal kukuh dan tidak terjejas.
Untuk rekod, polemik di Perlis tercetus selepas wujud gerakan lima ADUN BERSATU dan tiga PAS menarik sokongan terhadap Mneteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Susulan itu, tiga ADUN PAS terbabit telah terhenti keahlian serta merta dan disahkan oleh PAS kelmarin.
Namun sehingga kini, BERSATU masih berdiam diri terhadap pengkhianatan lima ADUNnya.