• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Prihatin Mart Kurangkan Kos Hidup Rakyat

HULU TERENGGANU, 1 Februari - Kerajaan pusat dengan inisiatif Ahli Parlimen Hulu Terengganu memperkenalkan  projek untuk komuniti, Prihatin Mart di saat ekonomi negara serba mencabar lantaran pandemik COVID-19.

Ahli Parlimennya, Dato' Rosol Wahid berkata, langkah tersebut yang menggunakan kaedah kedai runcit bergerak menjual barangan keperluan asas pada harga borong dengan potongan 30 peratus.

Katanya, Prihatin Mart memuatkan 91 barangan runcit dan bernilai sehingga RM15,000 akan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi mengikut jadual ditetapkan.

"Saya rasakan ini adalah perkara penting kepada masyarakat terutama yang terkesan dengan wabak ini  kerana diberhentikan kerja, kerja berkurangan, bekerja dari rumah dan sebagainya yang menyebabkan pendapatan mereka berkurangan.

"Prihatin Mart menawarkan pelbagai barangan makanan asas seperti gula, beras, minyak masak, dan banyak lagi pada harga patut yang lebih murah dan kompetitif ke arah menangani kos sara hidup rakyat.

"Jadi saya memberikan inisiatif dengan memberikan 30 peratus diskaun supaya semua orang yang ada sedikit kemampuan boleh beli," ujarnya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke jualan perintis Prihatin Mart di Dataran Kuala Telemong, hari ini. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata usaha itu akan diperluaskan ke seluruh negara 
secara berperingkat untuk menjamin kepentingan dan kesejahteraan hidup rakyat.

Sementara itu, seorang penduduk, Zairah Hassan, 67, berkata, program tersebut amat bermakna dan sangat membantu masyarakat setempat.

Katanya, dengan harga yang sangat murah dijual di kedai bergerak ini, pastinya orang ramai akan menunggu setiap kali jualan di kedai bergerak ini.

"Mak cik baru tahu pagi pasal jualan ni dan rancang nak jalan-jalan sahaja, akan tetapi bila tengok harga yang murah daripada asal, terus beli.

"Biasa minyak masak 5 kilogram kat kedai RM26 hingga RM27 sebotol, hari ni mak cik dapat beli dengan harga tak sampai RM19..memang berbaloi sangat terutama keadaan ekonomi sekarang ni,"ujarnya


Tag: