• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Primula Adalah 'Best 4 Star Eco Green Beach Front Hotel'

KUALA TERENGGANU, 17 Disember - Primula Beach Hotel menerima pengiktirafan  'Best 4 Star Eco Green Beach Front Hotel', di Anugerah Industri Pelancongan Malaysia 2022 (Malaysia Tourism Industry Award 2022) yang berlangsung di ibu negara, semalam.

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata anugerah tersebut merupakan pengiktirafan pertama yang berjaya diperolehi Primula setelah hampir 40 tahun bertapak dalam industri pelancongan di Terengganu.

"Anugerah ini juga secara tidak langsung menjadi motivasi kepada seluruh penggiat industri pelancongan dan hospitaliti untuk lebih berdaya saing saat mengharungi detik sukar semasa pandemik dan terus bertahan dalam situasi paling mencabar itu.

"Sekaligus memberi semangat untuk kami bekerja dengan lebih gigih lagi dalam mempromosikan perniagaan pelancongan sekali gus mewujudkan imej positif negeri di Malaysia dan juga peringkat Antarabangsa,"ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. 

Menurut beliau, anugerah kemuncak industri pelancongan yang mengiktiraf semua penggiat industri Malaysia dalam menjayakan aspirasi pelancongan negara itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Santai Travel.

Dalam majlis tersebut, lebih 60 penggiat industri pelancongan telah dinobatkan sebagai pemenang dalam anugerah yang julung kali diadakan bagi meraikan kecemerlangan dan sokongan mereka dalam pembangunan industri pelancongan.

Tambah Suaibah lagi , tanpa sokongan tenaga kerja pihak hotel juga, mereka tidak mungkin akan sampai ke tahap tersebut dan pengiktirafan itu menjadi inspirasi untuk  menjadi lebih baik dan progresif di masa akan datang.

"Kami akan terus berganding bahu serta bekerjasama dalam menjayakan aspirasi pelancongan negara untuk 
memastikan sektor ini terus maju dan ia menjadi tugas bersama dalam industri secara berterusan," katanya.