• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Primula Beach, Hotel Pertama Taja Pasukan Sukma Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Primula Beach Hotel menzahirkan sokongan kepada atlet-atlet Terengganu yang akan bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dengan menaja pasukan menembak negeri itu.

Syarikat perhotelan itu menjadi perintis program kolaborasi bersama Kontinjen Sukma Terengganu sebagai menterjemahkan obligasi sosial syarikat kepada masyarakat khususnya warga sukan Terengganu.

Pengurus besarnya, Suaibah Harun berkata, inisiatif berkenaan merupakan salah satu usaha hotel tersebut untuk menyokong pertumbuhan industri pelancongan sukan yang semakin berkembang pada masa ini.

"Ini inisiatif kita untuk memberikan sokongan moral kepada atlet-atlet dari negeri Terengganu supaya lebih bersemangat dan semoga berjaya menang dalam Sukma nanti. 

 "Kita terbuka untuk menyokong apa juga 'sport tourism' kerana ia amat membantu ekonomi negeri terutamanya kepada industri perhotelan.

"Baru-baru ini, kita mengadakan Pink Ride dan ia sangat berjaya serta menunjukkan adanya manfaat industri pelancongan dalam bidang sukan. Ramai pengunjung datang untuk sukan tetapi ia menjana ekonomi negeri disebabkan ada kaitan antara industri satu sama lain," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Hi-Tea bersama pasukan menembak Sukma di hotel itu, semalam.

Tambahnya, para atlet akan lebih positif dengan sokongan daripada pihak industri terhadap usaha mereka mengharumkan nama negeri.

"Saya juga cuba (mengetengahkan) menerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia cawangan Terengganu dengan harapan mungkin ada dua tiga hotel lagi akan menyokong untuk menaja pasukan-pasukan Sukma.

"Penganjuran sukan memberikan impak luar biasa dalam menjana ekonomi, ia 'create awareness' dan memberi kesan yang besar," katanya.

 

 

 

 

 


Tag: