• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Primula Beach Hotel Ukir Senyuman Anak Yatim, Asnaf

KUALA TERENGGANU, 23 April - "Ini adalah kali pertama saya berbuka puasa di hotel tetapi bukan bersama keluarga sebaliknya bersama rakan senasib," kata  Arash Armawi, 16, salah seorang penghuni Asrama Darul Falah yang diraikan Primula Beach Hotel dalam majlis berbuka puasa.

Dia yang tinggal bersama tiga lagi adik-beradiknya di asrama berkenaan sejak tahun lepas berkata, peluang untuk berbuka puasa di hotel sangat dinantikan kerana dapat merasai makanan yang dianggap mewah bagi mereka sekeluarga.

"Saya tidak pernah merasainya sebelum ini, kerana keluarga kami orang susah dan tidak mampu berbuat demikian,” katanya yang berasal dari Gong Bayor, Besut ketika ditemui selepas majlis Iftar di Dewan Gamelan Ballroom, Primula Beach Hotel(PBH), hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 60 orang anak-anak yatim dan kanak-kanak asnaf dari Asrama Darul Falah, SK Pagar Besi, SK Kampung Tengah dan Pusat Tahfiz Tengku Ampuan Bariah turut memeriahkan majlis tersebut.

Hadir sama, Pengerusi Primula Beach Hotel, Dato’ Mustafa Ali dan ahli Lembaga Pengarah PBH iaitu  Burhanuddin Hilmi Harun

Turut diraikan ialah kakitangan
Primula Beach Hotel yang berstatus ibu tunggal seramai 11 orang. 

Bagi Siti Nur Intan Zulieya Ahmad Zul Hatta,15, bulan Ramadan adalah bulan yang paling ditunggu sejak tinggal di Darul Falah, dia tidak pernah terlepas daripada menyertai majlis berbuka puasa di hotel.

"Kalau saya tidak tinggal di Darul Falah, sudah tentu tidak merasai suasana ini, kerana ibu tidak mampu membawa saya dan adik beradik berbuka di tempat mahal.

"Kadang-kadang saja dapat makan dekat hotel, itu pun masa bulan puasa... tapi memang seronok sebab lauk banyak dan sedap,"katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata,  program khidmat masyarakat itu diadakan untuk mengeratkan hubungan di antara staf hotel dan masyarakat luar.

"Saya berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan bersama anak-anak ini dan berharap majlis sebegini sedikit sebanyak dapat memberi senyuman kepada mereka di bulan mulia ini.

"Apa yang kami harapkan, mereka rasa dihargai dan tidak rasa terpinggir, kerana ada ramai insan lain di luar sana yang mengambil berat serta menyayangi mereka,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Asrama Darul Falah, Bukit Payung, Nurul Fatihah Razali, berterima kasih kepada Hotel Primula kerana menjemput mereka dan dirai di majlis berbuka puasa.

"Saya bersyukur kerana banyak menerima sumbangan aripada pelbagai pihak dan majlis sebegini sudah tentu dapat memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak ini terutama menjelang Syawal yang bakal tiba.

 "Majlis ini sekurang-kurangnya dapat memberi peluang anak-anak ini berasa dikasihi, sekali gus membuktikan mereka tidak disisihkan," katanya.


Tag: