lightning-solid
Berita :
PRNT Atur Tindakan Bantu Pemain Ragbi Sukma Putus Kaki
PRNT Atur Tindakan Bantu Pemain Ragbi Sukma Putus Kaki
Mohd Irsyadi Abu Bakar
13 jam yang lepas
110

KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) sedang meneliti perkembangan kecederaan pemain ragbi Terengganu, Sayyid Iskandar Mohamad Azaha,19, selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Bechah Salak, Jalan Batu Balai Chuchoh Puteri di sini, malm Sabtu.

Presiden PRNT, Amir Amri Mohamad berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci dari masa ke masa dengan pihak hospital tentang perkembangan kesihatan Sayyid sebelum memutuskan apa-apa keputusan.

"Di pihak pengurusan, saya tidak mahu ambil keputusan yang terburu-buru kerana dia masih lagi ditidurkan, ibu bapanya juga masih dalam trauma.

"Kita masih meneliti perkembangan kesihatan beliau dan akan ambil tanggungjawab membantunya. 

"Petang semalam, sebahagian pemain kita ada ke sana (hospital) menziarahinya. Manakala, di pihak pengurusan kita akan ke sana dalam minggu ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau juga memaklumkan, sebagai tindakan awal pengurus pasukan telah meminta izin daripada keluarganya untuk mengadakan kutipan derma kilat, disamping pihak persatuan sendiri akan memberikan sumbangan.

Menurut Amir, Sayyid merupakan pemain utama dalam skuad Ragbi Sukma Terengganu yang akan ke Temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor pada Ogos ini.

"Setakat ini, kita tidak putuskan apa-apa lagi keputusan berkaitan kedudukan beliau dalam pasukan Sukma.

"Berkenaan kecederaannya, kami dimaklumkan kaki kanan putus dan kita masih tidak tahu boleh disambung atau tidak, kerana dia dihantar ke Kuala Krai (Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP)), dan bukannya Kubang Kerian.

"Mungkin kerana keadaan ketika itu terlampau kritikal.

"Kaki kiri dan tangan kiri patah serta dia masih lagi ditidurkan. Kami mendapat maklumat sebelum ini, ketika kemalangan beliau dalam keadaan sedar.

"Hari ini, pihak hospital masih lagi dalam proses meneliti bahagian mana lagi yang terkesan dengan kemalangan itu," tambahnya.









Tag :

Utama

Artikel Berkaitan