KUALA NERUS, 23 September – Prof Dr Suriyani Muhamad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkuat kuasa 28 September ini.
Beliau yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) diberi amanah menerajui UMT bagi meneruskan kecemerlangan universiti itu, selain memperkukuh agenda akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan dan pembangunan strategik institusi.
Pejabat Komunikasi Korporat UMT dalam satu kenyataan memaklumkan, pengalaman luas Prof Dr Suriyani dalam bidang akademik dan pengurusan universiti serta kepakarannya dalam bidang ekonomi dijangka dapat memperkukuh kedudukan UMT sebagai universiti berfokuskan kelautan dan sumber akuatik.
Menurut kenyataan itu, beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) pada Januari 2025.
“Sepanjang menerajui portfolio berkenaan, beliau memberikan perhatian kepada pengukuhan ekosistem akademik universiti termasuk pembangunan program pengajian yang responsif terhadap perubahan semasa, keperluan industri dan perkembangan pasaran pekerjaan.
“Agenda pengantarabangsaan turut menjadi antara fokus beliau menerusi peluasan program mobiliti yang memberi peluang kepada pelajar UMT memperoleh pengalaman akademik global, pendedahan rentas budaya serta membina jaringan dengan institusi dan komuniti antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Prof Dr Suriyani berkata, UMT akan terus membina kekuatan berasaskan bidang teras universiti di samping memperkasa bidang strategik yang mempunyai potensi tinggi untuk berkembang.
“UMT mempunyai kekuatan dan identiti yang jelas dalam bidang kelautan dan sumber akuatik. Kekuatan ini perlu terus diperkasa, sambil kita memberikan perhatian kepada sub-niche dan bidang akademik strategik yang mempunyai potensi besar, relevan dengan keperluan negara serta menjadi pilihan pelajar.
“Keutamaan kita adalah memastikan kekuatan akademik UMT terus berkembang secara dinamik dan responsif terhadap perubahan landskap pendidikan tinggi, perkembangan industri serta keperluan masa hadapan negara,” katanya.
Menurut beliau, antara pembangunan strategik yang sedang diberi perhatian ialah penyediaan akhir Teaching Shipyard yang bakal memperkukuh ekosistem pengajaran dan pembelajaran dalam bidang maritim serta menyokong pembangunan bakat dan kepakaran berkaitan sektor kelautan negara.
Katanya, pembangunan bidang akademik yang mempunyai permintaan dan potensi tinggi perlu dilaksanakan secara terancang supaya UMT bukan sahaja mampu memenuhi keperluan semasa, malah bersedia menyediakan bakat, kepakaran dan penyelesaian bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Beliau berkata, selain memperkukuh kualiti graduan, kepimpinan baharu UMT juga akan memberi perhatian kepada penyelidikan berimpak tinggi yang mampu diterjemahkan kepada nilai tambah kepada universiti, industri, masyarakat dan negara.
“Kolaborasi strategik bersama industri, agensi kerajaan serta rakan antarabangsa akan terus diperluas supaya kepakaran, penyelidikan dan inovasi UMT dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan dalam menangani cabaran sebenar serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Pendekatan itu selari dengan aspirasi UMT untuk memperkukuh kedudukannya sebagai universiti berfokuskan kelautan dan sumber akuatik, sekali gus memainkan peranan lebih signifikan dalam pembangunan ekonomi biru negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Prof Ts Dr Noor Maizura Mohamad Noor turut dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT berkuat kuasa pada tarikh sama.
Beliau yang kini merupakan Pro Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital) UMT mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan akademik, jaringan industri dan masyarakat serta agenda pendigitalan universiti.
Pelantikan itu dijangka memperkukuh kesinambungan pengurusan akademik UMT khususnya dalam pembangunan program akademik yang relevan dan berdaya saing, pengantarabangsaan, peluasan jaringan strategik serta pengukuhan hubungan universiti, industri dan masyarakat.
Pelantikan kedua-dua tokoh berkenaan berlangsung pada detik signifikan ketika UMT meraikan Jubli Perak 25 Tahun dengan tema ‘Menerajui Agenda Ekonomi Biru Negara’.