• 08 Mei 2021 | 26 Ramadhan 1442

Program Imunisasi Menyeluruh Pastikan Pandemik COVID-19 Tamat - Muhyiddin

PUTRAJAYA, 16 Februari - Semua sektor ekonomi termasuk pelancongan yang terjejas teruk sebelum ini serta aktiviti sosial akan dibuka sepenuhnya, sebaik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjaya dilaksanakan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menjelaskan, program imunisasi menyeluruh itu untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik tersebut.

"Apabila semua orang telah dilindungi dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, impak positif akan mula kita rasai. Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan.

"Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu.

"Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19.

"Pastinya, satu lembaran baharu bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini," katanya ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Muhyiddin turut melancarkan laman web www.VaksinCovid.gov.my pada majlis ringkas itu.


Tag: