• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Program Jejak Intelektual Dokumentasi Kejayaan Anak Terengganu

Ghazali (tengah) bergambar kenangan dengan tetamu kehormat dan kakitangan Radio Televisyen Malaysia Terengganu sempena pelancaran Rancangan Tokoh Islam Minggu Ini, di Auditorium TerengganuFm, hari ini. Foto oleh Harish Fadzilah

Terengganu berhasrat mengadakan program `Jejak Intelektual' bagi mengetengahkan anak Terengganu yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuk golongan agamawan supaya mampu menjadi ikon serta rujukan kepada generasi masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, program seumpama itu mampu dilaksanakan menerusi kolaborasi dengan Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Terengganu, sebagai kesinambungan Terengganu dengan jolokan Negeri Anjung Ilmu.



 “Terengganu melahirkan ramai golongan intelektual terutamanya pelajar-pelajar hafiz dan hafizah daripada kolej agama. Malah kita juga mempunyai golongan cerdik pandai yang boleh ditonjolkan kejayaan mereka. 

"Kita juga boleh mengadakan program Jejak Intelektual rakyat Terengganu ataupun Jejak Hafiz dan Hafizah yang berjaya pada hari ini, dan boleh menaikkan lagi RTM (Radio Televisyen Malaysia) serta Negeri Terengganu khasnya. Di sini pentingnya kolaborasi yang sangat baik untuk kita jalinkan antara Jabatan Penyiaran (Negeri Terengganu) dengan RTM,”katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Bersama YB Ghazali Taib serta Pelancaran Rancangan Tokoh Islam Minggu Ini (Tismi), di Auditorium TerengganuFm, Bukit pak Apil, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penyiaran RTM Terengganu, Nordin Sulaiman. 

Ghazali berkata, ramai di kalangan tokoh dan golongan intelektual yang dilahirkan dari institusi pendidikan dan kolej agama seperti Sekolah Imtiaz, Institut al-Quran Terengganu (IQT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak diketengahkan kisah perjalanan hidup dan kejayaan mereka sebagai panduan generasi hari ini.

Selain itu juga, beliau berkata RTM juga boleh mendokumentasikan kisah kejayaan Terengganu dalam pelbagai bidang lain bukan sahaja pendidikan dan agama, juga perniagaan serta bekerjasama dengan agensi terbabit seperti Yayasan Pembangunan  Usahawan Terengganu.


Tambahnya,  program yang dilaksanakan itu diharapkan mampu mendidik dan menerapkan golongan remaja ke arah pembentukan jati diri serta mengukuhkan identiti rakyat Terengganu sendiri.

Sementara itu, Nordin berkata, rancangan Tismi yang berdurasi 30 minit bersiaran di TerengganuFM setiap Sabtu pada jam 6.15, manakala ulang siar pada keesokannya, setiap Ahad pula jam 2.15 petang,  berbentuk majalah radio mengenai tokoh Islam yang boleh dicontohi keperibadian mereka sebagai panduan dalam kehidupan seharian untuk keberkatan dunia serta akhirat.

Tag: