• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Program MyHeSs Pastikan Pemimpin, Pegawai Kerajaan Sihat

Ahmad Samsuri bergambar kenangan bersama pegawai terlibat selepas melakukan saringan kesihatan.


KUALA TERENGGANU, 17 April - Program Malaysian Health Status Surveillance System (MyHeSs) Eksekutif diadakan bertujuan untuk memastikan semua anggota pentadbiran kerajaan negeri berada pada tahap kesihatan terbaik.

Penolong Setiausaha Kerajaan Terenganu Bahagian Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan & Alam Sekitar, Mohd Nazir Mat Said berkata, kakitangan pentadbiran adalah golongan sasar yang penting untuk dipantau kesihatan mereka secara berterusan.
 
Katanya, ini bagi memastikan mereka mempunyai tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik dalam tugasan harian mereka.
 
“Kerana sebagai seorang anggota kerajaan, tahap kesihatan yang tinggi memang diperlukan untuk mentadbir dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Selepas ini program akan dilaksanakan di semua peringkat daerah dengan kerjasama pejabat kesihatan daerah masing-masing, bagi memastikan semua dalam keadaan baik,” katanya.
 
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita semasa Program MyHeSs Eksekutif di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
 
Mohd Nazir Mat Said.
Sementara itu Ketua Penolong Pengarah Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Wan Nor Hafizah Wan Baharuddin berkata, pemeriksaan kesihatan itu tertumpu kepada saringan wabak yang boleh mengganggu organ dalaman dan luaran badan.
 
Tambah beliau, program itu perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan tiada penularan wabak yang serius.
 
“Hari ini kita telah membuat saringan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah, paras gula dan kolestrol dalam darah serta saringan untuk kanser servik dan payudara.
 
“Semoga program dapat dilaksanakan secara berkala setiap tahun supaya pemimpin negeri mempunyai kesihatan pada tahap tertinggi,” tambah beliau.
 
Dr Wan Nor Hafizah Wan Baharuddin.
Program anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Terenganu itu turut mendapat perhatian Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut hadir bagi membuat pemeriksaan kesihatan.

Tag: