• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Program Pendidikan Kesihatan Tingkat Kesedaran Awal Masyarakat

KUALA NERUS, 1 Jun-  Program pendidikan berkaitan kesihatan amat penting dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat agar mereka berusaha mencegah sesuatu penyakit dari peringkat awal.

Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Dato' Dr Alias Razak berkata, sebagai contoh risiko penyakit kronik dan tidak berjangkit (NCD) seperti sakit jantung, strok dan kencing manis perlu didedahkan kepada umum. 

"Penyakit yang lambat dikesan akibatnya boleh menjadi sangat parah, menyebabkan rawatannya lebih rumit serta mengurangkan peluang untuk pulih sepenuhnya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Keluarga Sihat Komuniti Sejahtera peringkat Kuala Nerus yang berlangsung di Kompleks Tarbiyah At Takwa (KOMTAQ), di sini, hari ini.

Program anjuran Lajnah Kesihatan Kuala Nerus dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) itu turut dimeriahkan dengan acara senamrobik, gotong-royong basmi aedes, pemeriksaan kesihatan dan ceramah kesihatan oleh Dr Nur Amirah Fazira Zulkifli ( Pegawai Perubatan Bahagian Sakit Puan) Hospital Sri Aman, Sarawak.

Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan kesihatan tahunan yang merangkumi ujian darah untuk kesihatan kardiovaskular, gula dalam darah serta ujian tekanan darah adalah penting.

"Ujian darah membantu mengesan petanda dengan lebih awal, membolehkan seseorang mengetahui keadaan kesihatan dan menyiapkan diri, mengubah cara hidup termasuk mengamalkan pemakanan seimbang dan kerap bersenam bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit tertentu selain membolehkan doktor merawat tanda-tanda awal sebelum terlambat," katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan kesihatan juga perlu dilakukan bagi memantau dan mengesan masalah kesihatan sebelum menjadi lebih teruk, walaupun tanpa gejala kerana pemeriksaan dilakukan memungkinkan pengesanan awal serta intervensi.

"Antara ciri penting saringan kesihatan pencegahan ialah maklumat yang diberikan. Apabila pesakit memahami keadaan kesihatan mereka serta risiko yang berkaitan, mereka menjadi lebih peka terhadap kesejahteraan sendiri," katanya.


Tag: