• 24 Nov 2020 | 8 Rabiul Akhir 1442

Program PPTS Legakan Rakyat Kijal

KEMAMAN, 10 November - Program Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) banyak membantu masyarakat sekali gus melegakan penerimanya di negeri Terengganu khususnya Kijal.

Pegawai Khas Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Muhamad Haiqal Safie memberitahu, sebanyak 135 rumah telah dibaik pulih dan dibina baharu yang menelan belanja sebanyak kira-kira RM2.25 juta sepanjang dua tahun pemerintahan ini.

"Sehingga hari ini sebanyak 107 buah rumah telah dibaik pulih oleh PKM DUN Kijal dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman (PDK) di bawah peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada DUN sebanyak kira-kira RM1.4 juta.

"Dan sebanyak 20 buah rumah yang dibaiki dengan menggunakan peruntukan P02 berjumlah RM400 ribu telah siap dan diserahkan kepada mereka yang memohon dan layak," katanya.

Mohamad Haiqal Safie.

Mohamad Haiqal berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman di pejabat PKM di Bukit Kuang kelmarin.

Beliau juga berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan kerjasama baik yang ditunjukkan bagi menjayakan agenda kerajaan dalam membantu masyarakat menerusi program ini.

"Kami PKM berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama PDK, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan kontraktor yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan program PPTS ini," ujarnya.

Dalam masa yang sama, Pegawai Penyelaras DUN Kijal Ustaz Hazri Jusoh, menyatakan, ramai lagi pemohon yang telah dimasukkan di dalam senarai menunggu.

Kerja-kerja baik pulih rumah.

"Kepada pemohon yang rumahnya masih belum dibaiki atau dibina harap bersabar kerana ianya masih di dalam senarai menunggu dan mengikut giliran untuk dilaksanakan.

"Insya-Allah memandangkan rumah kediaman ini adalah keperluan 'dhoruriyat' maka tahun hadapan ianya akan dilaksanakan dalam kadar segera dengan peruntukan baharu yang disediakan oleh kerajaan," ucapnya.

Selain daripada rumah yang dibaik pulih, sebanyak lapan buah rumah bina baru PPTS diluluskan dan telah siap dibina di DUN Kijal dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM448 ribu.

Rumah bina baru PPTS.

 


Tag: