• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Program Sidang DUN GPMS Cungkil Bakat Kepimpinan Belia


Program Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muda Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) 2017 merupakan platform terbaik mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan belia negeri ini, kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong.

Program dua hari berakhir hari ini diadakan di Wisma Darul Iman dipengerusikan sendiri oleh beliau.

Katanya, selain memberikan pendedahan dan gambaran sebenar kepada golongan belia mengenai perjalanan dan prosedur sidang dewan, program itu juga berupaya melatih dan memberikan pendedahan kepada mereka adab dan peraturan ketika persidangan dewan berlangsung.

“Belia-belia yang mengambil bahagian kali ini cukup bersedia. Mereka dapat berbahas dengan cukup baik dan adab juga dijaga.

“Inilah yang kita mahu, generasi muda akan datang yang bukan sahaja mempunyai kewibawaan bercakap, beradap, tetapi jati diri yang kuat sayangkan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Program Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muda Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) 2017 yang diwakili 32 belia negeri ini, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, sekiranya dilatih dengan suasana dewan dan diberi peluang, golongan belia ini mampu untuk menjadi pemimpin pelapis pada masa akan datang.


Mohd Zubir berkata, program sebegini akan diadakan dari semasa ke semasa termasuk dibuka kepada pelajar universiti dan tingkatan enam untuk merakyatkan dewan.

“Ini sebagai pendedahan kepada masyarakat umum bagaimana usul atau apa sahaja rang undang-undang yang diluluskan serta adab dan peraturan persidangan DUN,” ujarnya.

Tag: