KEMAMAN, 9 November – Seramai 40 pelajar diraikan dalam Program Serahan Sumbangan Pelajar IPTA Peringkat DUN Kijal sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata setiap pelajar menerima sumbangan sebanyak RM200 sebagai galakan untuk terus berjaya dalam bidang masing-masing.
“Tahniah kepada semua penerima serta ibu bapa yang hadir mewakili anak masing-masing. Saya berharap agar semua pelajar dapat terus berusaha dan mengekalkan kecemerlangan sepanjang tempoh pengajian di menara gading.
“Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada masa depan yang lebih gemilang dan membanggakan keluarga serta masyarakat Kijal,” katanya ketika berucap pada majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal, baru-baru ini.

Razali berkata terdapat pelbagai inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan di DUN Kijal bagi membantu pelajar dan calon peperiksaan utama seperti SPM, STPM dan IPTA.
“Antara program yang dirancang termasuk Majlis Solat Hajat Perdana, Program Tuisyen Rakyat dan Majlis Apresiasi Calon SPM sebagai tanda sokongan dan dorongan kepada pelajar agar terus bersemangat mencapai kejayaan.
"Semoga segala perancangan dan program yang dibuat dapat memberi motivasi kepada pelajar lain untuk berusaha gigih serta menjadi kebanggaan kepada keluarga dan komuniti setempat,” ujarnya.