Roslee ketika memberi jawapan balas kepada peserta Program Tautan Budi Asiri pertama anjuran UKOM di Kelab Golf Bukit Besi, Dungun, malam tadi. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail. |
Program Tautan Budi bakal menjadi satu platform terbaru yang membuka peluang untuk anak muda dan golongan akar umbi berbicara secara langsung dengan pemimpin mengenai kehendak golongan sasar serta pembangunan setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud berkata, program yang pertama kali diperkenalkan oleh Unit Komunikasi Negeri (UKOM) Terengganu menjadi wadah terbaik untuk mendekatkan anak muda di peringkat akar umbi dengan pemimpin di kawasan masing-masing.
"Anak muda bebas untuk menzahirkan apa jua pandangan mereka dalam program bicara ini bagi memastikan kawasan DUN mereka berada di satu tahap yang boleh dibanggakan.
"Kebanyakan yang hadir adalah dari kepimpinan peringkat cawangan, jadi kita boleh dengar apa yang mereka mahu daripada kerajaan dan pemimpin mereka untuk direalisasikan demi kebaikan semua pihak.
"Saya ucapkan tahniah kepada UKOM kerana berjaya mengadakan program seperti ini dan juga memilih DUN Bukit Besi sebagai perintis bagi Tautan Budi,"kata Roslee kepada Teganukita di Program Tautan Budi di Kelab Golf Bukit Besi, Dungun, malam tadi.
Turut hadir, Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Terengganu, Yuseri Isa selaku moderator jemputan.
Program Tautan Budi sebanyak 24 siri yang dianjurkan oleh UKOM mensasarkan golongan belia yang berusia 21 tahun ke atas untuk menyampaikan apa sahaja yang dilaksanakan oleh kerajaan kepada generasi muda, meneruskan kelangsungan agenda pembangunan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam semua aspek melalui bicara dua hala bersama pemimpin.
Sementara itu, Pengerusi Belia 4B Cawangan Kampung Minda, Jerangau, Mohd Asmadi Khalid,36, berkata, program itu amat baik untuk pendedahan kepada generasi muda dan forum mendekatkan pemimpin dengan akar umbi.
"Ini adalah salah satu platform kepada anak muda daripada kerajaan negeri terutamanya mendengar isi hati mereka mengenai kehendak untuk diri sendiri dan pembangunan akan datang.
" Saya harap program ini dapat diadakan lebih kerap,mungkin dua kali setahun atau lebih supaya orang muda tahu tentang apa yang pemimpin dan kerajaan telah laksanakan dalam pembangunan setiap kawasan yang mana mungkin ada golongan tidak nampak selama ini...dan mereka boleh bersuara dari hati ke hati bersama pemimpin dalam majlis yang santai seperti hari ini,"katanya.