• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Projek Alam Mutiara Fasa 1 Penuhi Syarat Amalan Terbaik MBKT

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos- Projek Pembangunan Bercampur (Alam Mutiara Fasa 1), Mukim Pengadang Buloh berjaya memenuhi amalan-amalan terbaik rekabentuk fizikal persekitaran yang ditetapkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, projek penswastaan oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dengan usahasama pemaju Tentuan Dacing Sempurna Housing Sdn. Bhd itu telah mematuhi 11 syarat ditetapkan MBKT.


“ Majlis penyerahan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dan kunci bagi projek ini diadakan sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada pemaju kerana telah melaksanakan semua syarat kelulusan.


“Pihak kerajaan negeri mengharapkan skim pembangunan ini akan menjadi contoh dan ikutan oleh pemain-pemain industri lain dan seterusnya menjadi penanda aras baharu kualiti pembangunan perumahan di Terengganu,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis tersebut, hari ini.


Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Shahidan Embok serta Setiausaha LTAWNT, Abd Razak Abd Rahman.


Menurut beliau, pihak pemaju telah melaksanakan syarat kelulusan berkaitan amalan-amalan terbaik dalam rekabentuk fizikal persekitaran antaranya mereka bentuk laluan pejalan kaki yang bersambungan dan mesra pengguna ke arah menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk.


‘Taman rekreasi yang lengkap, tanaman pokok-pokok teduhan bagi mewujudkan suasana persekitaran yang nyaman, kemudahan infrastruktur dan ulititi yang lengkap, disamping pembinaan bonggol dan papan tanda bagi melancarkan lalulintas dan keselamatan penduduk, susun atur dan reka bentuk kediaman yang mengambil kira 'natural surveillance'.


“ Juga lorong belakang rumah teres dinaiktaraf untuk landskap dan pencahayaan, hutan nipah didikekalkan sebagai ekosistem semulajadi sungai, menyediakan parker OKU serta ramp di laluan beranda kedai, perletakkan feeder pillar dan fire hydrant yang teratur serta menerapkan ciri-ciri Manual Saliran Mesra Alam (MSMA),” ujarnya.


Alias berkata, projek berkenaan yang telah diluluskan Kebenaran Merancang pada 19 Disember 2017 dan kelulusan pelan bangunan pada 21 Mac 2018 siap dalam jangkamasa dua tahun mengikut  tempoh ditetapkan.


“Ianya mengandungi 21 unit kedai pejabat dua tingkat, 73 unit rumah teres dua tingkat dan lain-lain kemudahan berkaitan di atas tapak tanah seluas 20.85 ekar.


“Harga jualan bagi projek kormesial ini adalah sekitar RM399,000 hingga RM420,000 bagi kediaman teres dan antara RM650,000 hingga RM685,000 untuk kedai pejabat,” ujarnya.