• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Projek ECRL Dilancarkan Semula

Dato' Seri Dr. Samsuri bersama Loke Siew Fook dan Dato' Seri Aminuddin Harun sebelum gimik pelancaran semula projek ECRL.
DUNGUN, 26 Julai - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah terhenti lebih setahun lalu, semalam dilancarkan semula dengan memberi keutamaan kepada kerja-kerja pembinaan terowong dan jajaran yang merentasi Dungun sehingga di Mentakab, Pahang bagi enam ke 12 bulan mendatang.

Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, Loke Siew Fook, projek itu akan  menumpukan reka bentuk dan kerja-kerja fizikal bagi pembinaan terowong sepanjang 14.13 km di 23 lokasi dan jambatan sepanjang 39.03 km di 65 lokasi sepanjang 223 km dari kedua-dua daerah tersebut. Ia merupakan jajaran asal yang tidak berubah dalam usaha penambahbaikan ECRL.

“Di Terengganu sahaja, tiga buah terowong akan dibina iaitu Terowong Dungun sepanjang 871 meter, Terowong Paka sepanjang 1.104 km dan Terowong Kuantan yang merangkumi panjang 2.286 km yang turut melalui kawasan Jabor.

Loke Siew Fook.
"Terowong ini akan dibina menggunakan kaedah “Control Blasting” atau letupan terkawal bagi kerja-kerja penembusan,” katanya dalam Majlis Pelancaran Semula Projek ECRL di Tapak Terowong Dungun, Rimba Bandar Bukit Bauk, Kuala Dungun, semalam.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Aminuddin Harun dan Duta Besar China ke Malaysia, TYT Bai Tian.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, Dato' Sri Norolazali Sulaiman yang mewakili Menteri Besar Pahang, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan Dan Utiliti Negeri Kelantan, Abd Rahman Yunus yang mewakili Menteri Besar Kelantan, Naib Presiden China Communication Construction Company Ltd (CCCC), Sun Ziyu serta ahli-ahli lembaga pengurusan dari Malaysia Rail Link (MRL).

Kerja-kerja awal di Terowong Dungun telah dimulakan.
Loke turut memaklumkan, pihak MRL dan CCCC telah pun giat menguruskan kerja-kerja awalan pelaksanaan semula projek terutamanya di jajaran yang tiada perubahan.

“Bagi jajaran di seksyen A, melibatkan Kota Baharu, Kelantan ke Dungun dan jajaran Seksyen C di antara Mentakab, Pahang ke Pelabuhan Klang di Selangor yang mengalami perubahan, MRL akan menyerahkan Skim Keretapi Bersyarat untuk ECRL yang terlibat kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk dipertimbangkan.

"Selain itu, penilaian awam dijangka akan bermula pada hujung tahun ini selama tiga bulan untuk orang awam menilai dan memberi maklum balas terhadap cadangan projek,” katanya.

Projek ECRL yang telah digantung pelaksanaannya pada 3 Julai 2018 diteruskan selepas perjanjian tambahan dimeterai April lalu antara MRL dan CCCC dengan kos baharu bernilai RM44 bilion, pengurangan RM21.5 bilion ataupun 33 peratus  lebih rendah berbanding kos asal RM 65.5 bilion.


Jajaran baharu ECRL akan melalui 20 buah stesen, di mana 14 daripadanya merupakan stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo serta satu stesen untuk tujuan kargo sahaja.

Terengganu akan mempunyai enam buah stesen iaitu Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai yang merangkumi empat stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan kargo.

Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026 merangkumi laluan sepanjang 640 km dengan perubahan jajaran sebanyak 417 km atau 65.2 peratus daripada jajaran asal.  





Tag: