• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Projek Puncak Temala Wakaf Tapai Penuhi Keperluan Rakyat


Ahmad Razif (tengah) melihat model projek selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Puncak Temala, Wakaf Tapai, Marang. Foto oleh Tengku Syamim tengku Ismail

Projek Puncak Temala bakal menyediakan 685 unit kediaman dan unit komersil, satu lagi lakaran cerita kejayaan kerajaan negeri untuk penduduk Wakaf Tapai, Marang dan sekitarnya.

Pembinaan di kawasan berkeluasan hampir 27 hektar melibatkan tiga fasa merangkumi 100 unit rumah berkembar, 349 unit  rumah teres, 160 unit rumah mampu milik dan 76 unit kedai pejabat serta satu lot tapak komersil berhadapan jalan raya utama.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pembangunan perumahan baharu menerusi syarikat pemaju, Temala Development Sdn Bhd  (TDSB ) akan menyemarakkan lagi pembangunan setempat khususnya di Marang.

"Kawasan ini boleh menjadi sebuah kawasan pertumbuhan satelit yang baharu sekali gus merancakkan lagi aktiviti ekonomi daerah serta sekitarnya.

"Kerajaan akan berusaha untuk membina lebih banyak rumah bagi memenuhi kehendak dan kemampuan rakyat sama ada melalui agensi kerajaan sendiri atau melalui inisiatif pihak swasta seperti hari ini,"katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek pembangunan Puncak Temala, Wakaf Tapai, Marang, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains,Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia & Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato Pehimi Yusof.

Hadir sama, Pengerusi Temala Development Sdn Bhd, Dato' Wan Zakaria Abdul Rahman, ketua-ketua jabatan dan pemimpin parti.

Ahmad Razif berkata, projek itu juga merealisasikan hasrat kerajaan untuk memfokuskan pembangunan dan memenuhi keperluan rakyat merangkumi 3P, dengan P yang pertama, perumahan untuk kakitangan awam yang berpendapatan rendah dan sederhana, selain pendapatan dan peluang pekerjaan.


Lokasi Puncak Temala yang hanya tujuh kilometer dari Plaza Tol Ajil dan 23 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu bukan sahaja lokasi srategik dan baik untuk didiami malah untuk tujuan perniagaan.

Selain itu juga, sebanyak 349 unit rumah teres dua tingkat di Puncak Temala dengan keluasan lebih 11 hektar akan diperuntukkan kepada penjawat awam melalui Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia  (PPA1M ).



Tag: