• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Projek Rumah Terbengkalai Padang Setengge Hampir Pulih

Oleh : Suriati Ali

HULU TERENGGANU, 2 November - Projek Perumahan Padang Setengge di Kuala Berang yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu kini hampir siap dibangunkan sepenuhnya.

Berdasarkan kemajuan projek, fasa ketiga kini 99 peratus siap manakala fasa keempat pula 77 peratus siap dan kedua-dua fasa itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kejayaan merealisasikan harapan 234 pembeli rumah projek terbengkalai yang ditinggalkan kerajaan terdahulu merupakan satu kejayaan bagi pihaknya.

"Pada masa sama mampu  disiapkan mengikut jadual walaupun berdepan beberapa masalah tertentu, antaranya berdepan dengan faktor cuaca dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja Ke Kawasan Projek Perumahan di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said @ Mat Ali.

Menurut beliau, berdasarkan rekod, anggaran kos pembaikian rumah terbengkalai di Padang sentegge itu adalah antara RM8.5 hingga RM10 juta.

"Tidak ada kos tambahan yang dikenakan kepada pembeli dan semuanya akan ditanggung oleh kerajaan negeri melalui pihak Lembaga Tabung Amanah Warisan," jelasnya.

Difahamkan, projek di kawasan perumahan Padang Setengge bagi fasa tiga dan empat itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 2011 melibatkan 234 unit rumah.

Berdasarkan jadual, pemaju sepatutnya menyerahkan kunci kepada pembeli pada Ogos 2014 namun gagal dilaksanakan.

Sebanyak lebih 100 unit rumah di fasa 4 selepas itu ditinggalkan terbengkalai oleh sub-kontraktor dalam keadaan 75 hingga 80 peratus siap kerana kegagalan SePurnama sebagai kontraktor utama projek tersebut dalam melunaskan hutang kepada sub-kontraktor yang telah melaburkan sebahagian besar modal untuk menyiapkan projek.

Akibat daripada itu, berlakulah saman-menyaman antara sub-kontraktor dan kontraktor utama sehingga mahkamah memutuskan kontrak kepada SePurnama batal dan syarikat tersebut diisytihar muflis oleh insolvensi dan yang menjadi mangsa adalah pembeli yang terpaksa menanggung beban.


Tag: