• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Projek Rusa Nukleus Terengganu Sasar Keluar Hasil 2023

SETIU, 29 November – Kerajaan negeri memperkenalkan Projek Penternakan Rusa Nukleus di Ladang Informasi Veterinar Bari sebagai pusat pembiakaan baka dan mensasarkan pengeluarannya untuk keperluan penternak terutama dalam negeri Terengganu pada tahun 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek itu bermula pada tahun 2020 dengan peruntukan RM240 ribu.

Katanya, dana itu digunakan untuk membangunkan kawasan berpagar seluas 20 ekar yang dibahagikan menjadi empat 'paddock'.

“Setiap 'paddock' yang dibangunkan berkeluasan lima ekar bertujuan untuk melakukan penggiliran 'paddock' bagi sumber makanan hijau rusa.

“Kini ia menempatkan 50 ekor rusa betina dan lima ekor jantan dengan kini melahirkan tujuh anak baka Timorensis, sejak September tahun ini.

“Pada tahun 2021, projek ini diteruskan dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM485 ribu merangkumi Rumah Gelap untuk pengurusan ternakan rusa, penambahan bim konkrit pada kawasan pagar luar untuk mengelakkan pencerobohan oleh babi hutan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Projek Penternakan Rusa Nukleus di Ladang Informasi Veterinar Bari di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Hilmi Harun, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif serta Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, Dr. Anun Man.

Menurut Dr Azman, kos sebanyak RM725 ribu turut digunakan bagi pembangunan satu ekar foder baru dan penyelenggaran foder sedia ada seluas enam ekar.

“Manfaat buat rakyat akan diikuti selepas kita menyelesaikan tapak pembiakan yang mencapai sasaran lebih 200 ekor rusa pada satu atau dua tahun hadapan.

“Pembangunan penternakan rusa ini dilaksanakan adalah kerana ia sebagai satu sumber penternakan alternatif dalam menyahut Dasar Jaminan Bekalan Makanan (sumber daging merah) yang mana rusa adalah sangat sesuai kerana telah diperkenalkan,” katanya lagi

Tambah Dr Azman, penternakan rusa tidak lagi asing di dalam negeri dengan lebih 50 penternak terlibat dalam sektor tersebut secara kecil-kecilan.