• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Projek Solar : Petronas Perlu Utamakan Syarikat Bumiputera

PUTRAJAYA, 9 Mac – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim melahirkan kebimbangan terhadap kemajuan syarikat bumiputera sekiranya penyertaan mereka dalam pelbagai sektor dan bidang tidak disambut baik oleh syarikat-syarikat gergasi seperti Petronas.

Beliau berkata di sebalik penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dikatakan menjadi landasan penting bagi memperkasakan ekonomi golongan bumiputera.

Katanya, media melaporkan bahawa cabang tenaga hijau Petronas, Gentari Sdn Bhd telah melantik syarikat bukan milik bumiputera, Solarvest Energy Sdn Bhd untuk memasang sistem kuasa solar di lebih 300 stesen Petronas di seluruh negara.

 “Petronas telah memanggil tiga syarikat untuk membuat tawaran terhadap pemasangan sistem solar itu. 

“Namun begitu, apa yang menyedihkan adalah tidak ada satu pun syarikat bumiputera dipanggil untuk mengemukakan tawaran tersebut dan ini adalah satu bentuk penindasan kepada golongan bumiputera,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Amzad, beliau merasa amat kesal dengan pengumuman tersebut kerana pada dasarnya negara ini mempunyai banyak syarikat yang berkepakaran dalam industri tenaga solar seperti Gading Kencana Sdn. Bhd., Uzma Berhad dan lain-lain lagi.

Menurutnya, terdapat kira-kira 60 syarikat Bumiputera yang berdaftar di bawah Sustainable Energy Development Authority (SEDA) tetapi mengapa Petronas memilih untuk menganugerahkannya kepada syarikat bukan bumiputera tanpa tender.

“Saya turut mengajukan persoalan ini dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan meminta penjelasan daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli namun jawapan yang diberikan terlalu umum, kabur dan tidak menepati soalan yang ditanya. 

“Beliau hanya menjelaskan bahawa Kerajaan sedang mengenalpasti enjin-enjin pertumbuhan baharu untuk melonjakkan penyertaan ekonomi usahawan negara ke dalam rantaian nilai antarabangsa.

"Tambahnya lagi, Kerajaan akan memperhalusi penyertaan usahawan bumiputera mengambil risiko menyertai sektor-sektor seperti peralihan tenaga, digital, pertanian moden, serta sektor elektrik dan elektronik.

Amzad berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat jawapan, adakah Kerajaan berpendapat bahawa syarikat Bumiputera yang sudah menapak lama dalam industri ini tidak berkemampuan untuk melaksanakan projek tersebut dengan jayanya?

“Saya mendesak Kerajaan menjelaskan justifikasi Petronas memilih Solarvest Energy Sdn Bhd dan bukannya syarikat Bumiputera kerana Petronas sepatutnya memberikan peluang kepada syarikat Bumiputera memandangkan kewujudan Petronas itu sendiri adalah atas sokongan golongan Bumiputera.

“Saya berpendapat ini adalah langkah yang terbaik untuk merapatkan jurang ekonomi Bumiputera agar mereka tidak ketinggalan," jelasnya.

Tambahan pula, pengerusi Bursa Malaysia telah melaporkan bahawa hanya satu daripada 97 syarikat yang disenaraikan mempunyai majoriti saham bumiputera dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. 

Oleh itu, perkara tersebut amat membimbangkan dan mencerminkan penyertaan sebenar kaum bumiputera dalam sektor perniagaan.

Justeru itu, pihaknya memohon agar syarikat bumiputera diberikan lebih ruang dan peluang untuk terlibat dalam sektor-sektor strategik kerana ini akan membantu untuk melonjakkan ekonomi mereka seterusnya meningkatkan kadar pemilikan ekuiti Bumiputera di Bursa Malaysia.


Tag: