• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Projek Tanaman Melon OKU Penglihatan Bakal Diperluas

KUALA TERENGGANU, 27 Mac- Jika ada yang menganggap Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan tidak mampu menceburi bidang pertanian, tanggapan itu tidak semestinya benar.

Hakikatnya, insan istimewa ini mampu melakukan pelbagai kerja, seperti juga mereka yang normal asalkan diberi peluang dan ilmu dalam bidang berkaitan.

Kegigihan 10 peserta Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Terengganu mengusahakan tanaman melon secara fertigasi membuktikan kesungguhan mereka mahu berdikari dan mencari rezeki dalam bidang pertanian.

Melalui program pemindahan ilmu yang dijalankan di bawah seliaan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Ts. Dr. Wan Zaliha Wan Wan Sembok, mereka mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di pekarangan Pejabat SBM Cawangan Terengganu di Seberang Takir.

Pengerusi SBM Cawangan Terengganu, Mohd Imranfaisal Zulkifli berkata, memasuki kitar kedua projek rintis tanaman fertigasi MMT yang bermula pada 27 Januari lalu, ia dijangka dapat dituai pada 31 Mac ini selepas 65 hari penanaman.

“Program Blind Planters ini disokong oleh dana Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan sebanyak RM 250,000 dan merupakan satu program inisiatif ketahanan ekonomi pasca COVID-19.

“Uniknya, modul Braille tanaman fertigasi MMT diperkenalkan bagi membantu memudahkan pemahaman peserta yang sepenuhnya buta dan modul biasa kepada peserta rabun,” ujarnya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Menurut Mohd, selepas kitar kedua projek rintis tersebut, peserta Blind Planters bakal memulakan projek tanaman fertigasi MMT di kediaman masing-masing melibatkan daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. 

“Selain mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri dengan waktu kerja fleksibel, projek ini secara tidak langsung dapat menjana pendapatan sampingan sehingga RM500 sebulan kepada peserta melalui jualan tuaian hasil,” ujarnya.

Katanya, komitmen yang ditunjukkan peserta sangat memberangsangkan dan mereka mendapat banyak ilmu pengetahuan mengenai penanaman melon hasil kerjasama baik dengan pihak UMT.

“Kita ingin buktikan kepada masyarakat di luar sana yang OKU penglihatan mampu berdaya saing dengan insan normal yang sebelum ini hanya memandang (kami) sebagai tukung urut dan penjual tisu sahaja.

“Walaupun berdepan cabaran dari segi pergerakan yang agak terbatas, kita mengharapkan peserta yang telah terpilih tidak mensia-siakan peluang yang diberikan ini,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang peserta Program Blind Planters, Che Ibrahim Che Man,70, berkata, melihat MMT yang diusahakan hanya menunggu hari untuk dituai, ternyata memberi kepuasan yang bukan sedikit buat dirinya.

“Terima kasih kepada pihak persatuan dan UMT yang beri peluang kepada kami untuk ceburi bidang pertanian.

“Insyaallah selepas ini saya dan anak bercadang untuk mengusahakan tanaman MMT ini di kawasan tempat tinggal kami di Taman Rahmat,” ujarnya.