• 20 Sept 2021 | 12 Safar 1443

Projek Terbengkalai, Kerajaan Jumpa Pemaju Rabu Ini

MARANG, 25 April – Kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan projek perumahan bermasalah di Kampung Gong Cempedak di sini melalui beberapa kaedah termasuk dengan mengadakan pertemuan bersama pemaju swasta terlibat, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd pada rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tindakan lanjut itu diambil selepas projek seluas 48.671 ekar itu masih tertangguh meskipun aduan kepada pihak berwajib telah dibuat.

Katanya, pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri dan tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri.

“Mengikut prosedur ditetapkan, antara penyelesaian awal pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT).

“Walau bagaimanapun sehingga kini kerajaan negeri  masih menunggu jawapan, oleh itu, satu lagi inisiatif proaktif disusun iaitu dengan perbincangan bersama pihak pemaju dan Pejabat Tanah Marang pada minggu ini bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Sebenarnya projek ini sudah terbengkalai sejak 2013, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan persekutuan, meskipun pada tahun 2018 Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah Senator Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sendiri, sepatutnya pada waktu itu beliau boleh menyelesaikan isu ini dan membantu pembeli, namun itu tidak berlaku sehingga menyebabkan pembeli terus sengsara,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Sementara itu, Ketua Penolong SUK (Perumahan), Nor Sophia Azura Mohd Husin berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Pejabat Daerah Dan Tanah Marang untuk menghantar aduan kelewatan projek ke peringkat pusat.

“Kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara kerana langkah selanjutnya akan diambil oleh JPN,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Khas Menteri Besar DUN Rhu Rendang, Wahad Osman memaklumkan, pihaknya telah mengambil langkah sejak 2019 melalui perbincangan bersama Pegawai Bahagian SUK Perumahan mengenai aduan berkenaan.

“Hasil siasatan, pengisian projek tersebut bukan di bawah Pengkalan Data SUK Perumahan Negeri, tetapi pembelian terus pembeli dengan pemaju.

“Projek bermula tahun 2006 dengan tanah kerajaan (MMKN) bersetuju menyerahkan kepada pemaju (di bawah konsep penswastaan) telah diserah secara pajakan selama 99 tahun membabitkan 497 buah rumah dan dipecahkan kepada lima zon.

“Zon 1 (53 unit) dan 2 (112 unit) telah siap manakala zon 3 melibatkan 120 buah unit yang sepatutnya siap pada tahun 2018 masih dalam pembinaan dan hanya mencecah 70 peratus sahaja,” jelasnya.

Tambahnya, zon 4 (104 unit) dan 5 (108 unit) masih belum mendapat pengesahan status tanah oleh Pejabat Tanah Marang.