• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Projek Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir Jadi Hab Pelancongan


HULU  TERENGGANU, 6 Januari - Kerajaan negeri memberi jaminan Projek Zon Bebas Cukai di Pulau Bayas Tasik Kenyir di sini, tidak akan menjadi projek 'gajah putih' dan akan disiapkan sepenuhnya untuk dijadikan sebagai hab pelancongan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dimaklumkan terdapat 15 projek yang dirancang di bawah zon itu. Rata- rata projek telah siap melebihi 50 peratus dan ada yang mencapai 90 peratus.


Katanya, manakala bagi  projek jeti di Pulau Poh sudah siap sepenuhnya, hanya menunggu tarikh serahan.

"Kerajaan memerlukan peruntukan tambahan sekitar RM70 hingga RM80 juta untuk menyiapkan sepenuhnya keseluruhan projek itu yang dijangka siap dalam  tempoh dua tahun akan datang.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan memberi tempoh masa sebulan untuk mereka kemukakan perancangan bagi membolehkan projek ini  diteruskan.

"Sama ada projek itu perlu melalui beberapa pengurangan di beberapa aspek, itu kita akan pertimbangkan kemudian kerana keutamaan ialah kita mahu projek ini siap," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Tasik Kenyir, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, apabila projek tersebut siap kelak, pihaknya menjangkakan dapat menarik seramai satu juta pelancong setahun berbanding 700,000 setahun pada tahun lalu.


"Pulau Poh dalam bulan Ogos atau September akan siap, Pulau Bayas pula mungkin dalam tempoh setahun setengah hingga dua tahun lagi.

"Kita harap apabila semua fasiliti ini siap, bilangan pengunjung ke Tasik Kenyir akan meningkat kepada satu juta orang," katanya.

Tag: