• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Proklamasi Melayu Tiada Kaitan Dengan Kejatuhan Kerajaan

MARANG, 9 Mei - Proklamasi Orang Melayu cetusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiada sebarang kaitan dengan ura-ura pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proklamasi 12 perkara itu digerakkan oleh bukan ahli parlimen atau pihak yang mempunyai kuasa untuk merubah kerajaan.

“PAS menyokong proklamasi itu dan ia jelas tidak ada kaitan dengan apa yang didakwa.

“Orang yang ada dalam jawatankuasa tersebut semuanya bukan ahli parlimen, tak ada kena mengena dengan dewan rakyat dan dewan negara, ini tak memberi kesan kepada kedudukan kerusi-kerusi dalam parlimen,” katanya.

Naib Presiden PAS itu berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, proklamasi berkenaan bertujuan membincangkan isu kepentingan kaum Melayu.

“Kita menyokong dan bertemu Tun M bagi membincang 12 perkara (untuk menyelamatkan orang Melayu di negara ini dan menggesa perpaduan dalam kalangan orang Melayu bagi tujuan itu),” jelasnya.

Baru-baru pemimpin kanan DAP mendakwa, Proklamasi Orang Melayu hanya bermatlamat untuk menukar Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, menyifatkan proklamasi itu hanya propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu dan tiada kaitan dengan usaha memartabatkan orang Melayu.

"Proklamasi Orang Melayu tidak lain selain propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu untuk menggugat kerajaan perpaduan,” dakwanya.


Tag: