lightning-solid
Berita :
Promosi Terengganu Di Bangkok Sasar Peningkatan Pelancong Antarabangsa
Promosi Terengganu Di Bangkok Sasar Peningkatan Pelancong Antarabangsa
Hafiz Rosli
10 jam yang lepas
114

BANGKOK, 31 Januari – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu terus mempergiat usaha promosi antarabangsa dengan menyertai Majlis Pelancaran Pavilion Visit Malaysia 2026 (VM2026) dan Kalendar Acara Pelancongan 2026 yang berlangsung di Queen Sirikit National Convention Center (QSNCC), di sini.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan berkata, majlis berkenaan menghimpunkan wakil industri pelancongan dari Malaysia dan Thailand serta menjadi platform penting untuk memperkenalkan hala tuju promosi pelancongan Malaysia bagi tahun 2026.

“Pelbagai acara dan produk pelancongan negara, termasuk tarikan utama di Terengganu, diketengahkan kepada pasaran antarabangsa bagi menarik minat pelancong luar negara untuk berkunjung ke Malaysia.

"Penganjuran majlis ini turut membuka ruang kerjasama strategik antara pemain industri pelancongan Malaysia dan Thailand, khususnya dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong ke Malaysia dan seterusnya ke negeri Terengganu.

"Termasuk memperkukuh pembangunan pelancongan lintas sempadan (cross border tourism) antara kedua-dua negara,” katanya ketika program berkenaan.

Majlis Pelancaran Pavilion Visit Malaysia 2026 (VM2026) dan Kalendar Acara Pelancongan 2026 itu disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris dan Pengasas ECMC, Tengku Seri Temenggung Raja Terengganu, Tengku Datuk Seri Baharuddin.

FB_IMG_1769855059755.jpg 137.27 KB


Hilman berkata, pasaran Thailand dilihat sebagai antara pasaran penting dalam memperkukuh aliran pelancong serantau menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sementara itu, pada keesokan harinya, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu meneruskan promosi ke Chiang Mai menerusi program promosi silang budaya yang menampilkan persembahan dan pameran budaya Terengganu.

“Persembahan seni tradisional serta pameran kebudayaan itu berjaya menarik perhatian masyarakat tempatan, sekali gus memperkenalkan seni, tradisi dan cara hidup masyarakat Terengganu kepada orang ramai.

“Program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan budaya antara Terengganu dan Thailand melalui aktiviti seni serta interaksi secara langsung bersama masyarakat setempat," ujarnya.

Beliau berkata, usaha promosi silang budaya itu dilihat mampu meningkatkan minat pelancong antarabangsa untuk mengenali Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya, warisan tradisi dan keunikan tersendiri.

Secara keseluruhan, penyertaan Terengganu dalam program promosi di Bangkok dan Chiang Mai ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh jenama pelancongan Terengganu di peringkat antarabangsa menjelang VM2026.
FB_IMG_1769855075450.jpg 203.33 KB


Tag :

Artikel Berkaitan