KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak, mendakwa kerajaan Persekutuan gagal mengurus perolehan projek pembangunan dengan berkesan apabila terus menggunakan kaedah Pra-Kelayakan (Pre-Qualification atau Pre-Q) yang terbukti bermasalah, seperti didedahkan dalam laporan audit terbaharu.
Menurutnya, walaupun Kerajaan Madani berjanji mempercepat projek berimpak tinggi untuk rakyat, laporan audit mendedahkan proses perolehan sehingga tandatangan kontrak mengambil masa hampir dua tahun, tanpa projek dimulakan.
“Kelewatan ini menjejaskan rakyat yang terpaksa menunggu kemudahan asas, sementara janji kerajaan hanya tinggal janji,” katanya dalam sesi perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hari ini.
Dr. Alias turut membongkar kemungkinan manipulasi dalam sistem Pre-Q, apabila enam syarikat diluluskan di peringkat awal tanpa dokumen lengkap dan tiga daripadanya menerima Surat Setuju Terima (SST).
“Lebih membimbangkan, ada syarikat yang tiada kemampuan kewangan dan teknikal, malah pernah gagal dalam projek sebelum ini, tetapi tetap diberi projek baharu kerajaan,” ujarnya.
Selain itu jelas Dr. Alias, laporan audit turut mendedahkan kegagalan kerajaan membangunkan pangkalan data syarikat yang berkesan, apabila pelawaan tender berulang kali dihantar kepada 65 syarikat sama di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) antara tiga hingga tujuh kali.
“Pengurusan projek bernilai jutaan ringgit dilakukan secara sambil lewa. SOP tender kerajaan perlu seragam dan jelas supaya tiada ruang untuk manipulasi,” tegasnya.
Dr. Alias turut mengecam kerajaan kerana tidak melaksanakan saranan audit agar kaedah Pre-Q Terpilih dihentikan dan diganti dengan tender terbuka yang lebih telus dan berintegriti.
“Pendekatan sambil lewa ini hanya membuka ruang ketirisan, pembaziran wang rakyat dan penyalahgunaan kuasa. Akhirnya, rakyat yang derita, dan kepercayaan kepada kerajaan terus merudum,” katanya.