• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Proses Pembersihan Laluan Air Elak Banjir Mula Dijalankan

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kerja-kerja pembersihan saliran air di Kampung Kolam dan Kampung Padang Luar bagi mengelakkan kejadian banjir mula dijalankan pada Isnin lalu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi kerja-kerja pembersihan tersebut merupakan antara persiapan awal untuk menghadapi musim tengkujuh. 

“Kawasan ini antara yang selalu naik air dan setiap tahun kita akan buat operasi pembersihan laluan air untuk memastikan sisitem saliran air berjalan dengan lancar, tidak tersumbat.

“Setakat yang biasa kita buat, ia berkesan untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan ini,” kata Ustaz Muhammad Khalil ketika membuat tinjauan di kawasan tersebut selepas turun padang meninjau operasi itu.

Tambah beliau lagi, cadangan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk penyelesaian masalah banjir di kawasan tersebut telah diterima dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat. 

“Pada tahun ini, fokus kami di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk ialah untuk menyelesaikan isu banjir di Mukim Kuala Ibai,” katanya lagi. 

Sementara itu, sebuah longkang baharu telah dibina di Kampung Gong Kemunting untuk melancarkan aliran air di situ.