KUALA NERUS, 19 November - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi parlimen Kuala Nerus, Dato'Dr Alias Razak menjadi orang pertama membuang undi di pusat pengundian Daerah Mengundi Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal (SKBT) pada 8.05 pagi, hari ini.
Beliau yang hadir bersama isterinya, To' Puan Fatimah Omar, tiba di SKBT pada jam 7.50 pagi dibenarkan masuk oleh petugas sebaik pengundian dibuka pada jam 8.00 pagi.
Dr. Alias ketika ditemui selepas mengundi di hadapan SKBT berharap, penduduk Kuala Nerus dapat turun beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mengundi untuk kebaikan negara.
"Alhamdulillah, kita diizinkan menerima cuaca yang baik hari ini dan ini memberi kemudahan bagi penduduk di Terengganu amnya dan Kuala Nerus khususnya untuk hadir ke pusat pengundian.
"Saya berharap, kita mendapat peratusan tinggi keluar mengundi di seluruh negara terutama di Terengganu dalam usaha kita bersama memilih kepimpinan terbaik untuk menerajui negara," katanya.
Bagi parlimen Kuala Nerus, seramai 104,345 pemilih berdaftar dijangka hadir membuang undi hari ini, melibatkan 40 pusat mengundi.
Dalam pada itu, calon dari Barisan Nasional (BN), Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir pada jam 10.30 pagi.