• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Pulangkan Royalti Minyak Bukan Kekalkan Polisi Lama

Ustaz Hishamuddin (dua dari kanan) ketika di Johor baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU - Bagi membina 'Malaysia Baharu', Kerajaan Persekutuan perlu lebih bersedia memberikan komitmen memulangkan kembali royalti petroleum dan gas kepada kerajaan negeri Terengganu bukan mengekalkan polisi lama yang telah diperkenalkan sejak tahun 2000 yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia bertujuan melihat sejauhmana keupayaan Kerajaan Terengganu memacu ekonomi negeri dan membela kebajikan rakyat.

Katanya, menuju 'Malaysia Baharu' sepatutnya Kerajaan Pusat membawa satu gagasan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Malaysia secara lebih adil.

"Buang budaya politik melampau dan bina kembali objektif berpolitik yang menggunakan sistem federalisme secara saksama," katanya dalam satu kenyataan di status facebook beliau baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau tidak pasti sejauh mana keputusan pihak persekutuan khususnya Kementerian Kewangan terhadap komitmen royalti atau ‘dana khas persekutuan’ untuk Terengganu.

"Jika komitmen untuk bina 'Malaysia Baharu', saya kira kerajaan persekutuan perlu lebih bersedia memberikan komitmen memulangkan kembali hak rakyat Terengganu melalui saluran yang sah (kerajaan negeri) bukan mengekalkan polisi lama yang telah diperkenalkan semenjak tahun 2000 yang lalu.

"Inilah masanya untuk melihat sejauh mana komitmen kerajaan Terengganu dalam memacu ekonomi negeri dan pembelaan terhadap kebajikan rakyat," katanya.

Dalam masa yang sama kata Ustaz Hishamuddin, pihak kerajaan persekutuan tidak perlu bimbang dengan penyelewengan kerana semua agensi kerajaan persekutuan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain cukup mampu untuk memantau malah mengenakan tindakan jika terbukti pihak kerajaan negeri melakukan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Beliau menjelaskan, kadar perolehan hasil untuk negeri pengeluar hanya lima peratus sahaja atas nama royalti.

"Kerajaan Persekutuan pula memperolehi sumbangan melalui Petronas dalam pelbagai jenis bayaran termasuk royalti lima peratus, dividen, cukai pendapatan, duti dan lain-lain.

"Justeru, lima peratus royalti tidak wajar berkira sangat untuk negeri pengeluar minyak. Hormati perjanjian royalti dan kembalikan peluang untuk rakyat melihat bagaimana kerajaan baharu negeri Terengganu membangunkan negeri dengan lancar," ujarnya.

Beliau percaya dan menaruh harapan agar kerajaan baharu persekutuan tetap bersedia untuk memperbaiki kesilapan yang lampau.

"Secara faktanya, royalti minyak Terengganu telah cukup untuk diteliti melalui pelbagai medium. Senang nak dapat info dan kronologi royalti semenjak diperolehi Terengganu pada 1978 hingga dinafikan hak pada tahun 2000 semasa PAS berjaya mendapat mandat dari rakyat Terengganu," jelasnya lagi.



Tag: