• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pulau Peranginan Di Terengganu Kini Dibuka

Keindahan semulajadi pulau di Terengganu.


KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Pulau peranginan di Terengganu kembali meriah dengan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara apabila kesemua pusat itu mula beroperasi pada awal bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pusat peranginan itu ditutup kepada semua pengunjung bermula pada November hingga Februari lalu berikutan musim tengkujuh yang melanda Terengganu.
  
Katanya, resort yang kembali dibuka itu menyebabkan pakej percutian yang ada di Terengganu menjadi pilihan dan hampir keseluruhannya sudah terjual.

"Jualan pakej-pakej percutian di dalam dan luar negeri semasa berlangsungnya Karnival Pelancongan Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA) Fair Terengganu menunjukkan jumlah yang memberangsangkan selain Terengganu turut jadi pilihan.

“Menyebabkan kebanyakan agensi kembara dan pelancongan telah mengambil risiko membeli bilik penginapan di pulau-pulau peranginan dan akan promosikan pada pelanggan sendiri,”katanya menerusi satu kenyataan kepada media, Rabu lalu.
Pulau Redang. Foto ihsan - Amazing Terengganu

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat turut berkata, pertumbuhan industri pelancongan berkembang pesat akan menguntungkan rakyat bukan sahaja di Terengganu tetapi turut memberi kesan pada Malaysia.

Jelasnya, kerajaan negeri juga akan terus mempromosikan industri pelancongan yang ada di Terengganu untuk meningkatkan lagi taraf sosio ekonomi.

Beliau juga berharap supaya kolaborasi sebegini melalui badan-badan NGO pelancongan seperti MATTA, Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet (MyBha) dan lain-lain dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Penyediaan prasarana dan perancangan, selain galakan dan promosi oleh kerajaan negeri bersama strategi perniagaan pengusaha-pengusaha pelancongan bakal membuahkan kejayaan dalam meningkatkan jumlah pelancong.

“Seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat negeri bertepatan menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” tambah beliau.

Tag: