• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pulau Perhentian, Jertih Destinasi Eko Pelancongan Berpotensi

BESUT, 21 Februari- Pulau Perhentian dan Jertih kini dikenalpasti oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai kluster destinasi eko pelancongan yang berpotensi untuk dipromosi dan dibangunkan secara bersepadu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja berkata, produk pelancongan lain adalah  Pantai Air Tawar, Pantai Bukit Keluang, Desa Ukiran Kayu, Hutan Simpan Gunung Tebu, Kolam Air Panas La di samping aktiviti pembuatan rebana dan gasing serta persembahan dikir barat, wayang kulit.

Katanya, tarikan terbaru adalah Bukit Bubus di mana peluncur boleh berada di awangan mencecah ketinggian 300 hingga 500 meter daripada paras laut di samping menikmati keindahan panorama jajaran Bukit Keluang, Laut China Selatan yang terbentang luas, turut kelihatan Pulau Perhentian dan Pulau Rhu.

“Berdasarkan rekod, pada tahun 2017 dan 2020, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) telah berjaya menganjurkan Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (TIPCO) yang telah berjaya menarik 74 peserta daripada 28 buah negara dan Discovery Paragliding Beautiful Terengganu dan Ogos ini, akan dianjurkan pula Terengganu International Air Festival,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Lawatan Ke Bukit Bubus, Tembila, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah JPNT Fadli Yusof Zakaria.

Tengku Seri Bijaya Raja berkata, aset pelancongan merupakan elemen penting dalam industri pelancongan.

“Saya berharap agar enam elemen aset pelancongan (Six A) iaitu Attractions (Tarikan), Accessibility (Ketersampaian), Amenities (Kemudahan), Available Packages (Pakej) , Activities (Aktiviti Pelancongan) dan Ancillary Services (Perkhidmatan Sampingan) dilihat dengan lebih berfokus dan bersepadu agar Bukit Bubus ini akan menjadi tarikan pelancongan tersohor di negara ini.

“Di samping lima elemen dalam produk pelancongan iaitu aspek fizikal (physical plant), perkhidmatan (service), hospitaliti (hospitality), kebebasan membuat pilihan (freedom of choice) dan penglibatan (involvement),” katanya.

Beliau turut memaklumkan, bagi daerah Besut, sejumlah RM143,000  telah disalurkan JPNT di 10 lokasi pelancongan bagi tujuan pengindahan, keceriaan dan kebersihan. 

“Perkembangan industri pelancongan yang berasaskan alam semulajadi, seni dan budaya akan mendorong para pelancong berkunjung berulang kali dan Besut sesungguhnya adalah sebuah daerah yang sangat bertuah kerana mempunyai semua produk pelancongan tersebut,” katanya.