'Pulau Petang Tak Pernah Siap, Dah Lama Terbengkalai'
KUALA TERENGGANU, 21 Februari – Pulau Petang di Tasik Kenyir tidak pernah siap sepenuhnya sejak mula dibangunkan pada tahun 2010, demikian ujar Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu.
Datuk Razali Idris berkata, ia bukan baru terbengkalai sejak 2021 seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Pulau Petang telah bermula sejak 2010 dan kemudiannya ditutup pada tahun 2022.
"Pulau ini sebenarnya pembangunannya tidak pernah siap dan pulau ini dipelopori oleh Ketengah,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini
Terdahulu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengumumkan akan membaik pulih Resort Pulau Petang yang telah terbiar.
Pengerusi Ketengah, Dato' Seri Ahmad Said berkata, kos baik pulih resort yang berusia kira-kira 25 tahun itu akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM16 juta yang diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Jelas Razali, sebelum ini peruntukan besar telah digunakan untuk membangunkan Pulau Petang, namun ia tidak siap seperti dirancang.
“Zaman Ahmad Said sebagai Menteri Besar, beliau telah belanjakan sebanyak RM25 juta untuk membuat penambahan tetapi Pulau Petang tidak menjadi satu pulau yang siap dengan resort dan sebagainya seperti mana yang didakwa oleh beliau dan pada ketika itu Syarikat Nika Niaga sebagai pengurus.
“Apabila saya sebagai Pengerusi Ketengah saya tukar Nika Niaga kepada Ketengah Niaga. Jadi itulah sejarah Pulau Petang yang dibina oleh Ketengah pada asalnya selepas itu Kerajaan Negeri, selepas itu diuruskan oleh Ketengah.
“Kita bukan nak cari kesilapan siapa, siapa yang buat terbengkalai, siapa yang merosakkan perniagaan itu sebenarnya,” soalnya.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berpendapat sebarang isu berkaitan pembangunan Pulau Petang perlu diselesaikan melalui perbincangan profesional bukannya menerusi media.
"Saya pun tak faham tindakan Pengerusi Ketengah. Sepatutnya kita berbincang secara ilmiah dengan saya sebagai Exco Pelancongan, bukan membuat kenyataan melalui media.
"Sekiranya pihak Ketengah enggan bekerjasama, fungsi pemasaran Tasik Kenyir boleh diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri.
"Jika mereka tidak berminat untuk bekerjasama, kita boleh minta Ketengah menyerahkan kembali fungsi pemasaran yang telah diberikan kepada mereka kepada Kerajaan Negeri," katanya.
Mengulas lanjut, Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap peruntukan sebanyak RM16 juta daripada Kerajaan Pusat bagi kerja-kerja baik pulih Pulau Petang, yang terletak di Tasik Kenyir.
Razali berharap peruntukan itu dapat menjadikan Pulau Petang sebagai lokasi hentian utama bagi pelancong yang ingin mengunjungi ke Santuari Kelah.
"Kita harap supaya kerja baik pulih ini dapat disiapkan sepenuhnya dan menjadikan Pulau Petang satu hentian untuk ke Santuari Kelah," ujarnya.