• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Punca Rezeki Nelayan Lenyap Sekelip Mata

Oleh: Naim Fadhilah Kamaruddin

DUNGUN, 26 Mei - Bot Kelas B yang digunakan oleh seorang nelayan untuk menangkap ikan musnah terbakar sekelip mata di Pengkalan Sungai Buaya, pagi kelmarin.

Mangsa, Ab Rashid Isa, 48, berkata, dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, dia sedang membaiki bot rakannya tidak jauh dari lokasi botnya terbakar. 

"Sewaktu kejadian saya tengah baiki bot kawan saya dekat sahaja dengan bot saya itu, tiba-tiba diberitahu ada kepulan asap dan tak sangka asap itu berpunca daripada bot saya sendiri.

"Saya redha perkara yang terjadi, Allah baru ambil harta, belum nyawa saya. Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa yang berlaku", ujarnya kepada pemberita.

 Ab Rashid berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada percikan api pada bateri enjin bot. 

Dalam kejadian itu, pihak Bomba dan Penyelamat Dungun berjaya mengawal api daripada terus merebak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, beliau akan cuba bantu dari sudut kewangan memandangkan punca pendapatan bagi nelayan tersebut telah terjejas.

"Saya akan cuba bantu menampung sedikit kos baik pulih bot tersebut dan menghulurkan wang perbelanjaan memandangkan punca pendapatannya terjejas," ujarnya.


Tag: