• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pusat Pemprosesan Susu Kambing Tenusu, Jana Pendapatan Penternak

Dr Azman menandatangani plak perasmian Program Inkubasi Pengembangan dan Keusahawanan Tenusu.
KUALA TERENGGANU, 1 November - Pembukaan Pusat Pemprosesan Susu Kambing Tenusu yang mampu memproses kira-kira 1,000 liter susu sehari di Pusat Pengembangan Veterinar Kampung Jenang, Marang, pada tahun hadapan dijangka mampu menambah pendapatan puluhan penternak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebelum ini, seramai kira-kira 50 penternak aktif di kampung-kampung hanya memproses susu kambing secara manual.


Katanya, kaedah itu pastinya mengurangkan kepercayaan orang ramai yang menganggap cara memproses susu adalah kurang bersih dan tidak berkualiti, selain produk tidak dapat dipasarkan ke luar dan hanya berlegar di sekitar kampung sahaja.

"Dengan adanya pusat ini, ia diharapkan dapat membantu penternak berskala kecil serta sederhana bagi meningkatkan mutu produk mereka sekaligus meningkatkan pendapatan pada masa akan datang.

"Kerja-kerja memasukkan mesin dan peralatan yang bernilai RM700,000 sedang dijalankan di pusat yang terletak Kampung Jenang, Marang dan akan mengambil masa antara satu hingga dua bulan sebelum boleh beroperasi sepenuhnya kerana perlu melalui beberapa prosedur dan ujian,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas menghadiri program Inkubasi Pengembangan dan Keusahawanan Tenusu di Dataran Kaprima, Bukit Kecil, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Mohd Termizi Ghazali.

Seramai 150 peserta dari seluruh negeri menghadiri program tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, untuk permulaan, projek ini akan melibatkan 50 penternak kambing tenusu yang aktif tetapi jumlah ini dijangka meningkat kerana dijangka lebih ramai penternak kecil- kecilan akan turut datang untuk menggunakan perkhidmatan di pusat berkenaan.

"Permintaan susu kambing di Terengganu agak tinggi kerana ia sering diwar-warkan sebagai produk kesihatan dan dalam negeri pun kita tidak ada cukup bekalan khususnya dalam bentuk susu segar.

"Oleh itu, sasaran kita selepas ini adalah untuk memenuhi keperluan dalam negeri dan juga pasaran di Lembah Klang. Sebelum ini memang ada permintaan dari luar, tetapi kita tak dapat nak bekalkan kerana selain masalah stok, kita juga tidak ada sijil halal dan sebagainya yang amat diperlukan untuk satu-satu produk pergi lebih jauh," katanya.


Tag: