• 24 Okt 2020 | 7 Rabiul Awal 1442

Pusat Pemulihan Dadah Holistik Beroperasi Januari Depan

 

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Pusat pemulihan dadah secara holistik yang menggunakan pendekatan lebih komprehensif dijangka beroperasi mulai Januari tahun depan di Kem Chador, Marang dengan pengambilan 100 pelatih.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama dengan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan berkaitan pemilihan pelatih.

Katanya, mereka yang dipilih termasuk yang tinggal di kawasan pendalaman dan benar-benar mahu berubah kepada kehidupan lebih baik.

"Pusat pemulihan dadah itu berada dalam peringkat penyelesaian isu tanah dan pemilikan bangunan sedia ada antara Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu dan Sri Miah Sdn Bhd melibatkan kos RM1.5 juta. Permohonan tapak sebagai cadangan adalah tapak Program Latihan Khidmat Negara PLKN Kem Chador, Marang, Terengganu sebelum ini yang berkeluasan kira-kira 40 ekar.

“Dalam konteks pemilihan pelatih, kita tidak akan memaksa mereka  untuk berubah sebaliknya menggunakan pendekatan  kerohanian dan mendalami ilmu agama, mengaji al-Quran, pentingnya solat apabila pelatih ke pusat itu kelak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (Sura-PAS) pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan anggaran kos perbelanjaan pengurusan bulanan yang akan ditanggung oleh pihak kerajaan RM1.499 juta, termasuk kos gaji, emolumen, pengurusan dan operasi.

Konsep secara holistik yang dimaksudkan adalah secara bersepadu, kerana itu pemilihan pelatih adalah daripada bukan penagih tegar kerana penagih tegar diuruskan oleh AADK

"Hanya mana-mana pelatih yang sudah dikeluarkan daripada pihak penjara, kita akan ambil dan dibuka secara sukarela serta dididik di pusat ini.

"Sistem itu nanti merangkumi dua segmen, pertama adalah melalui konsep kerohanian, iaitu rawatan secara dalaman.

"Kedua adalah membuat perkampungan melalui projek-projek dari sudut kemahiran, seperti pertanian, penternakan sehingga mereka sesuai untuk keluar bersama-sama masyarakat setempat dan jika sebaliknya, mereka akan kekal di situ sehingga akhir hayat," tambah beliau.


Tag: