Putra Aerospace Nyata Hasrat Bina Pesawat di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Syarikat Putra Aerospace Industri (PAI) menyatakan hasrat untuk membina pesawat di negeri Terengganu dalam kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.

Ahmad Samsuri berkata, beliau sangat berbesar hati menerima kunjungan daripada PAI setelah mengetahui hasrat pihak terbabit yang diketuai oleh Tuan Hassanuddin Tuan Kob.

"Kita sedang meneliti cadangan ini dan mengenalpasti lokasi yang strategik untuk projek fasa pertama ini iaitu di dalam kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud seluas lebih 50 ekar.

"Manakala cadangan untuk fasa kedua dan seterusnya juga telah dikenalpasti di kawasan yang sama," ujarnya melalui satu hantaran di Facebooknya.

Mengulas mengenai kemampuan PAI, Ahmad Samsuri menjelaskan beliau akan melihat dengan teliti permohonan itu kerana difahamkan syarikat itu bukan hanya mampu membawa alat ganti pesawat bahkan mereka memiliki lesen untuk membina pesawat baru.

"Semoga kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak PAI ini dapat meningkatkan ekonomi (serta) membuka ruang untuk melahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang aeroangkasa dan bermanfaat buat rakyat secara menyeluruh," tambah beliau.