• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ragbi Piala Agong 2022: Terengganu Belasah Johor

KUALA NERUS, 6 November- Pasukan Ragbi Terengganu membuka tirai perlawanan dengan langkah kanan apabila menumpaskan Johor 30-17 pada aksi pertama Ragbi Piala Agong 2022, semalam.

Lebih menarik, perlawanan ini turut disaksikan Tuanku Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan salah seorang anggota skuad ragbi Terengganu Piala Agong 2022. 

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Gong Badak itu, Johor terlebih dahulu memperoleh mata melalui try dilakukan Muhammar Faiq Aslah Mohd Satar pada minit ke-25, disusuli tendangan conversion dua mata yang disempurnakan Mohamaad Asri Azhar.

Namun pada minit ke-31, pasukan tuan rumah merapatkan kedudukan dengan try pertama menerusi Kinijoji Taukeisalili dan conversion dua mata disempurnakan Muhammad Faris Pead untuk kedudukan tujuh sama, terikat sehingga tamat separuh masa pertama. 

Bersambung babak kedua, Terengganu bangkit menerusi penalti tiga mata yang disempurnakan Muhammad Faris pada minit ke-50, tetapi Johor bingkas menyamakan kedudukan dengan try oleh pemain nombor lapan mereka, Sikeli Qauqau untuk kedudukan mata 10-12. 

Penalti pada minit ke-55 oleh Muhammad Faris menjadi titik kebangkitan Terengganu, disusuli try Muhammad Halim Abu Kassim serta conversion dua mata oleh Muhammad Faris pada minit ke-60 menjadikan kedudukan mata 20-12. 

Johor cuba bangkit merapatkan jurang mata dengan try Muhammad Shahiran Setopha pada minit ke-70 untuk kedudukan 20-17.

Bagaimanapun, tendangan penalti Muhamad Faris pada minit ke-77 serta try pada minit minit akhir permainan oleh Muhammar Aqil Ahmad Fodzi, ditambah penyudah conversion berjaya disempurnakan Abdul Latif Sa'id pada minit 80 berjaya menambah jurang mata kepada 30-17.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlawanan.

 

 

 

 

 

 


Tag: